"Ya. Ia masih boleh dilakukan," kata Biden pada Ahad, apabila ditanya sama ada beliau percaya gencatan senjata boleh dicapai dengan berbaki lima bulan lagi sebelum tamat tempoh perkhidmatannya, lapor Agensi Anadolu.
Biden pada Rabu mengadakan wawancara pertamanya dengan CBS sejak mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan presiden akhir bulan lalu menentang calon Republikan dan bekas Presiden AS Donald Trump.
"Rancangan yang saya usulkan disokong oleh G7, disokong oleh Majlis Keselamatan PBB dan sebagainya, masih lagi berdaya maju.
"Dan saya bekerja setiap hari, begitu juga dengan seluruh pasukan saya untuk memastikan bahawa keadaan ini tidak meningkat menjadi perang serantau. Tetapi ia boleh berlaku dengan mudah," kata Biden dalam temu bual itu.
Biden berkata pada 31 Mei, Israel membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan permusuhan di Gaza dan menjamin pembebasan tawanan di wilayah yang terkepung itu.
Pelan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tawanan dan pembinaan semula Gaza.
Selama berbulan-bulan Mesir, Qatar dan AS mengetuai rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas, tetapi tiada persetujuan dicapai kerana Tel Aviv enggan memenuhi tuntutan kumpulan Palestin untuk menamatkan perang, mengundurkan tentera dari Gaza dan membenarkan rakyat Palestin untuk kembali ke utara wilayah itu.
Israel terus melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.
-- BERNAMA