"Kami sering berhadapan dengan kawasan yang sukar untuk penghantaran bantuan kemanusiaan. Tetapi Gaza pada masa ini adalah yang paling berbahaya dalam setahun di mana lebih ramai pekerja kemanusiaan terbunuh berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Fletcher memberi amaran bahawa utara Gaza berada di bawah kepungan selama lebih dua bulan, meningkatkan ancaman kebuluran.
Selepas menamatkan lawatan ke Asia Barat, di mana beliau bertemu dengan pasukan kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, beliau berkata: "Pada Januari 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan arahan sementara yang pertama, dalam kes permohonan Konvensyen Genosid di Semenanjung Gaza."
"Kurang setahun kemudian, intensiti keganasan yang berterusan bermakna tiada tempat yang selamat bagi orang awam di Gaza. Sekolah, hospital dan infrastruktur awam telah dihancurkan menjadi runtuhan.
"Selatan Gaza sangat sesak, mencipta keadaan hidup yang mengerikan dan keperluan kemanusiaan yang lebih besar apabila musim sejuk tiba. Di seluruh Gaza, serangan udara Israel ke atas kawasan yang padat penduduk berterusan, termasuk kawasan yang diperintahkan oleh tentera Israel untuk dipindahkan, menyebabkan kemusnahan, perpindahan dan kematian."
"Akibatnya, di sebalik keperluan kemanusiaan yang sangat besar, penghantaran bantuan yang sangat diperlukan hampir mustahil dilakukan. Pihak berkuasa Israel terus menafikan akses yang bermakna - dengan lebih 100 permintaan untuk mengakses Gaza Utara ditolak sejak 6 Okt.
Sementara itu, keadaan terus merosot di Tebing Barat dan bilangan kematian adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan, kata ketua bantuan PBB itu.
"Tahun lalu, operasi tentera Israel mengakibatkan kemusnahan infrastruktur penting seperti jalan raya dan rangkaian air, terutamanya di kem-kem pelarian.
"Keganasan oleh kumpulan pendatang yang semakin meningkat dan pemusnahan rumah telah mengakibatkan perpindahan dan peningkatan keperluan. Sekatan pergerakan menyekat mata pencarian dan akses kepada perkhidmatan penting terutamanya penjagaan kesihatan," katanya.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menuntut perlindungan semua orang awam, membebaskan semua tawanan, mempertahankan tugas penting UNRWA dan memutuskan kitaran keganasan.
Beliau turut memberi penghormatan kepada petugas kemanusiaan yang berusaha menyelamatkan nyawa orang awam dalam keadaan yang sangat sukar ini.
-- BERNAMA