Bermula dengan satu janji temu antara suspek dan mangsa menerusi sebuah aplikasi bagi lelaki yang meminati kaum sejenis, kisah berakhir dengan satu serangan menggunakan kekerasan dan jenayah rompakan.

Mangsa yang berusia 20 tahun itu bukan saja dirompak malah dirinya yang dalam keadaan bogel dan diikat dicampakkan di tepi jalan di Kemang Timur V, Jakarta.

Mengikut laporan media tempatan, kejadian bermula apabila suspek yang bernama Raden Prambudi berhubung dengan mangsa, menerusi aplikasi jaringan gay Jakarta Selatan. Mangsa ketika itu memuat naik status bahawa dia memerlukan wang.

Setelah berkomunikasi lanjut, suspek berjanji untuk menawarkannya 'pekerjaan' dan kemudian menjemput mangsa di suatu lokasi dengan sebuah kereta.

Suspek membawa dua lagi rakan, dan ketiga-tiga suspek itu telah memberikan mangsa minuman dan pil yang memabukkan.

Apabila disoal siasat polis, Raden Prambudi mengakui mangsa diikat dan dibuang di tepi jalan kerana ketiga-tiganya bosan kerana mangsa tidak mampu melayan nafsu mereka akibat mabuk.

Mereka juga mencuri dua unit telefon pintar milik mangsa sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, polis Jakarta berjaya menahan ketiga-tiga suspek tersebut yang didedahkan nama mereka kepada umum, iaitu Raden Pambudi, 32, Raden Satria, 22, dan Rizal, 17.

Menurut polis Jakarta Selatan, dua daripada tiga suspek berkenaan mempunyai hubungan persaudaraan iaitu Raden Pambudi merupakan bapa saudara kepada Raden Satria.

Tambah pihak polis, dua daripada suspek iaitu Raden Pambudi dan Rizal telah ditembak di bahagian kaki kerana mereka melawan pihak polis sewaktu tangkapan dilakukan.