RAMALLAH: Hubungan antara Palestin dan Amerika Syarikat (AS) berada pada tahap paling rendah apabila Washington gagal menekan Israel supaya menghentikan tindakannya terhadap Palestin, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai kanan Palestin pada Rabu.

AS tidak mahu menghentikan sebarang rancangan atau projek Israel untuk "menyelamatkan proses damai yang terhenti daripada kebuntuan yang dicapai kerana tindakan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin," kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmad Majdalani.

"Kami tidak mengharapkan mereka (pentadbiran AS) akan mengambil sebarang langkah praktikal dan nyata untuk menyelamatkan proses damai, yang telah mengalami koma yang mendalam," kata Majdalani.

Rundingan damai secara langsung antara Israel dan Palestin telah dihentikan pada akhir Mac 2014 berikutan pertikaian mengenai penempatan Israel dan sempadan negara Palestin.

Palestin telah berulang kali menggesa AS untuk menekan Israel supaya menghentikan pencerobohannya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, termasuk pembinaan penempatan dan serangan terhadap pekan dan bandar Palestin di Tebing Barat. Palestin juga menggesa AS untuk membuka semula konsulat AS di Baitulmaqdis Timur dan pejabat PLO di Washington.

Menyedari bahawa AS "masih rakan kongsi kepada kerajaan penjajah," Majdalani berkata, "kita tidak boleh bergantung kepada pentadbiran Amerika."

Pegawai itu juga mengkritik AS kerana memberikan "perlindungan selain sokongan politik dan diplomatik untuk Israel dalam pelbagai organisasi antarabangsa" serta menyalahgunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB.

-- BERNAMA