KIEV: Amerika Syarikat (AS) kenakan sekatan ke atas Rusia susulan tindakannya menandatangani perjanjian penggabungan empat wilayah pro-Kremlin di Ukraine.

Sekatan terbaharu ini menyasarkan ratusan individu dan syarikat, termasuk mereka yang terlibat dalam kompleks ketenteraan industri dan ahli parlimen.

Tindakan Washington ini diambil selepas tindakan pencerobohan oleh Rusia yang disifatkan terbesar di Eropah sejak perang dunia kedua.

Menurut Presiden Joe Biden, Washington akan mendesak komuniti dunia mengecam Rusia dan memastikan negara itu dipertanggungjawabkan.

Menurut Jabatan Perbendaharaan, mana-mana individu di luar Rusia, termasuk syarikat, yang memberi sokongan politik, ekonomi atau material kepada Moscow, akan berdepan sekatan.

Sekatan itu akan membekukan semua aset organisasi Rusia di AS.

Ia turut menyenarai hitam mana-mana syarikat yang menjalankan urus niaga  dengan organisasi terbabit.

Setakat ini, 57 entiti Rusia dan Crimea diletak dalam senarai hitam eksport AS.

Sementara itu, kedutaan Rusia di Washington belum memberi kenyataan rasmi berkait sekatan terbaharu ini.

Krisis Rusia-Ukraine | Putin gabung empat wilayah Ukraine bawah pentadbiran Rusia