Filipina catat satu lagi kes positif koronavirus
Agensi
Februari 5, 2020 18:59 MYT
Februari 5, 2020 18:59 MYT
Filipina mengesahkan satu lagi kes positif koronavirus di negara itu menjadikan jumlah keseluruhan tiga kes.
Setiausaha Kementerian Kesihatan, Rolando Domingo memaklumkan, pesakit warganegara China berusia 60 tahun itu tiba di Bandar Cebu dari Wuhan, China pada 20 Januari lalu.
Sebelum disahkan positif koronavirus, pesakit itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di daerah Bohol apabila mengalami simptom seperti demam dan coryza.
Ujian sampel darah pesakit tersebut diambil pada 24 Januari lalu dan dihantar ke Makmal Rujukan Penyakit Berjangkit Victoria di Australia dan Institut Penyelidikan Perubatan Tropika (RITM).
Namun, keputusan ujian darah yang dikembalikan pada 29 Januari lalu mendapati ia negatif dan dia dibenarkan pulang ke China melalui Cebu pada 31 Januari lalu.
Bagaimanapun, 3 Februari lalu, sampel darah yang sama diuji semula dan mendapati pesakit positif novel koronavirus.
Sabtu lalu, kes kematian pertama akibat novel koronavirus direkodkan di Filipina.
Lelaki yang berasal dari Wuhan dan mengembara ke Filipina itu adalah korban pertama di luar China akibat virus tersebut.