Ibu bapa mangsa tragedi kapal karam di Korea Selatan pada 16 April lalu mendesak keputusan autopsi dikeluarkan segera.

Ini kerana keputusan tersebut dijangka dapat membuktikan bahawa anak-anak mereka masih hidup ketika berada dalam kapal yang tenggelam itu dan bantuan lambat merupakan punca mereka maut.

Angka kematian disahkan mencecah 171 pada Khamis manakala 131 masih belum ditemui pasukan penyelam yang meneruskan usaha mencari mangsa yang terperangkap dalam feri malang itu.

Lebih seminggu selepas kapal seberat 6,825 tan itu karam bersama 476 orang dimana kebanyakkan mereka merupakan pelajar sekolah menengah, ahli keluarga mangsa terus menyuarakan kemarahan atas usaha menyelamat yang dianggap tidak mencukupi.

Pasukan penyelam mengambil masa lebih dua hari untuk memasuki kapal yang telah tenggelam sepenuhnya itu memandangkan jarak penglihatan yang terhad dan mereka terpaksa mengambil masa dua hari sebelum mayat pertama dijumpai.

Ahli keluarga mangsa rata-ratanya percaya bahawa mangsa masih selamat untuk beberapa hari pertama namun maut selepas tiada bantuan tiba.

Disebabkan ini, ramai yang meminta agar autopsi dijalankan bagi melihat sendiri sebab dan waktu kematian yang tepat.

“Kami menerima permohonan membuat autopsi beberapa kali,” kata salah seorang ahli forensik yang kini bertugas di Pulau Jindo bagi mengenalpasti mayat mangsa tragedy feri karam ini.

“Mereka mahu maklumat tepat mengenai sebab dan waktu kematian, namun ia hanya diminta oleh segelintir sahaja,” katanya.

Seorang pegawai yang bertanggungjawab bagi hal-hal perubatan dan perundangan memberitahu, tiada halangan bagi ahli keluarga yang mahu autopsi dijalankan.

“Tetapi pada pengetahuan saya, tiada sesiapa membawa mayat ke Perkhidmatan Forensik Kebangsaan setakat ini,” kata pegawai tersebut.

feri, korea
Pasukan penyelamat yang dikerah untuk mencari mangsa feri Korea Selatan yang karam pada 17 April.


Mangsa terperangkap?

Ramai mempercayai bahawa mangsa yang terperangkap di dalam kapal tersebut sebenarnya masih selamat pada beberapa hari pertama, dan cerita ini dikuatkan lagi dengan komen-komen palsu yang dimuatnaik di laman media sosial menunjukkan pesanan ringkas yang dihantar mangsa, meronta-ronta meminta diselamatkan.

Ahli keluarga turut naik berang selepas menerima laporan bahawa mayat-mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna seperti jari yang patah dimana ia menunjukkan usaha mangsa untuk menyelamatkan diri.

Daripa 476 orang yang berada di dalam feri itu, 325 merupakan pelajar Sekolah Menengah Danwon di bandar Ansan.

Jurucakap jawatankuasa wakil keluarga mangsa, Kim Hyong-Ki mengesahkan terdapat beberapa ibu bapa yang mendesak autopsi dijalankan.

“Mereka mahu tahu bagaimana ahli keluarga mereka menemui ajal,” kata Kim.

“Namun, ramai yang menentang kerana tidak mahu mayat mangsa yang dalam keadaan teruk itu dibedah lagi.

“Mayat anak perempuan saya masih berada di dalam laut, tetapi saya tidak mahu sesiapa membedah badannya apabila dijumpai nanti.”

Ratusan reben berwarna kuning diikat di rel pengawal di dermaga Pelabuhan Jindo pada Khamis beserta mesej seperti ‘Saya rindukan kamu’ dan ‘Selamat jalan’.

Seorang pegawai pengawal pantai berkata, pasukan penyelam kini sedang memberi fokus kepada kabin di dek ketiga dan keempat feri yang karam tersebut dalam usaha mencari mangsa.


Misteri panggilan kecemasan pertama

Menurut agensi berita Yonhap, salah satu mayat pelajar sekolah menengah yang ditemui dikenalpasti sebagai pelajar yang pertama membuat panggilan kecemasan dari feri itu.

Pelajar tersebut yang dikenali sebagai Choi telah membuat panggilan kecemasan 119 pada jam 8.52 pagi, iaitu tiga minit sebelum anak kapal menghantar isyarat kecemasan pertama.

Kapten Feri Sewol, Lee Joon-Seok dan 10 anak kapalnya telah ditahan pihak berkuasa atas tuduhan kecuaian jenayah kerana meninggalkan penumpang dalam keadaan kritikal.

Lee terus dikritik kerana melambatkan proses menyelamatkan diri sehingga saat-saat akhir dimana feri tersebut mula condong dan tenggelam sepenuhnya.

Seorang jurutera kanan memberitahu, feri tersebut tidak mengalami sebarang masalah pada enjin mahupun pada tangki balast.