Menurut laporan portal The Wall Street Journal yang memetik muat naik Facebook di laman itu sebagai berkata, pengendali laman sosial terbesar itu akan memadamkan akaun yang menawarkan pembelian senjata api tanpa melakukan semakan atau melangkau sempadan negara secara haram.
Muat naik perubahan larangan pengguna dan akaun berkaitan pembelian dan penjualan oleh Facebook.
Mereka akan memberitahu pengguna yang menawarkan pembelian senjata itu dan akan menghadkan akses muat naik yang berkaitan penjualan senjata api kepada pengguna yang berumur 18 tahun ke atas.
Syarikat itu juga akan memberikan peringatan kepada muat naik Instagram oleh pengguna yang sedang mencari senjata api untuk dibeli dengan mengingatkan mereka tentang undang-undang pemilikan senjata api.
Dalam kenyataan yang sama juga, Facebook berkata mereka turut bergantung kepada laporan daripada para pengguna akan kewujudan akaun yang menawarkan pembelian atau penjualan senjata api dan perubahan ini akan dilakukan sepanjang beberapa minggu akan datang.
Perubahan ini dilakukan selepas enam minggu kempen oleh kumpulan aktivis bergelar “Mayors Against Illegal Guns and Moms Demand Action for Gun Sense in America” (Datuk Bandar Menentang Senjata Haram dan Para Ibu Mendesak Tindakan Kesedaran Senjata di Amerika) yang memuat naik sebuah video menggambarkan penjualan senjata api secara haram melalui Facebook.
Kumpulan terbabit bercadang untuk menyerahkan lebih 130,000 petisyen untuk meminta tindakan diambil ke atas muat naik penjualan senjata api secara haram kepada Facebook.
Namun Facebook kini dilihat lebih dahulu mengambil tindakan dengan meminda syarat dan larangan dalam terma penggunaan laman sosial itu semalam.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, akaun penjualan senjata api di Facebook yang dinyatakan oleh kumpulan itu masih lagi beroperasi sehingga pagi tadi.
Pengendali akaun 'Guns For Sale' itu bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai akaun mereka.
"Kami merupakan komuniti yang dibina untuk membantu peminat senjata api untuk membeli dan menjual secara SAH.
Kami menyokong seratus peratus idea untuk menjauhkan senjata api daripada kanak-kanak dan orang-orang berbahaya seperti penjenayah,” kata muat naik kenyataan rasmi terbabit.