Enam pesakit koronavirus dibenarkan keluar hospital di Thailand

Bernama
Januari 31, 2020 08:01 MYT
Penumpang pesawat China Southern Airlines dari Changsha di China menjalani saringan kesihatan ketika tiba di lapangan terbang antarabangsa Jomo Kenyatta di Nairobi, Kenya, 29 Jan, 2020. (Foto AP)
Enam daripada 14 pesakit 2019 novel koronavirus dibenarkan keluar hospital, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand Dr Sukhum Kanchanapimai.
Beliau berkata pada masa ini terdapat 135 pesakit disyaki dijangkiti virus itu dikuarantin di hospital.
"Lapan lagi pesakit yang disahkan dijangkiti virus itu masih menerima rawatan di hospital. Mereka semakin pulih," kata beliau dalam satu sidang media di sini pada Khamis.
Sementara itu, Biro Imigresen Thailand berkata sebanyak 930,965 rakyat China melawat Thailand dari 1 hingga 28 Jan.
Dalam tempoh sama, 20,271 pelancong China dari Wuhan, pusat tercetusnya wabak maut koronavirus di China, datang ke Thailand dan 95,582 pelancong China dari Guangzhou melawat negara ini.
Sementara itu, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) , Yutthasak Supasorn berkata ketibaan pelancong ke negara ini dijangka menurun.
"Secara purata kira-kira 800,000 pelancong China melawat negara ini sebulan. Berikutan tercetusnya wabak koronavirus, kami menjangka 70 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong China itu bakal tiada," katanya.
Presiden Persatuan Hotel Thailand, Supawan Thanomkiattibhumi berkata wabak koronavirus antara faktor menyebabkan tempahan hotel di destinasi utama menurun.
"Wabak koronavirus menakutkan pelancong, bukan sahaja pelancong China tetapi juga pelancong asing yang lain. Dalam Februari, tempahan hadapan untuk hotel merosot daripada 50 kepada 30 peratus," katanya.
-- BERNAMA
#2019-nCoV #China #Hospital #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #Lembaga Pelancongan Thailand #novel koronavirus #pelancong #pelancongan #Persatuan Hotel Thailand #pesakit #rawatan #Sukhum Kanchanapimai #Thailand #wabak #Wuhan
;