Mahkamah Kemboja pada Isnin mendakwa enam orang – termasuk seorang petugas tempatan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – atas tuduhan percubaan merasuah seorang wanita supaya menafikan hubungan sulit dengan anggota tertinggi parti pembangkang.

Perkembangan itu adalah yang terkini dalam skandal seks negara itu sejak kes pembocoran butir perbualan telefon antara ahli politik, Kem Sokha, dengan seorang pendandan rambut berusia 25 tahun pada dua bulan lalu, lapor AFP.

Kumpulan haluan kanan berkata, perbicaraan di mahkamah adalah percubaan terkini oleh Perdana Menteri Hun Sen untuk mengekang pihak pembangkang daripada menggugat kuasanya yang telah bertahan selama 31 tahun.

Wanita itu pada awalnya menafikan hubungan sulit dengan Kem Sokha, iaitu timbalan ketua Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja.

Namun, wanita tersebut menukar pengakuan dan mengakui hubungan tersebut. Dia juga menuduh kumpulan Persatuan Hak Asasi dan Pembangunan Kemboja (ADHOC) telah mengarahkannya untuk menafikan dakwaan itu.

Pada Khamis, unit anti rasuah negara itu telah menahan empat ahli kumpulan tersebut bersama seorang bekas petugas kumpulan. Mereka kini dalam tahanan polis.

"Kami akan mendakwa mereka atas kesalahan cuba merasuah saksi,” ujar jurucakap pejabar pendakwaraya Ly Sophanna.

Seorang petugas pejabat hak asasi PBB, Sally Soen, juga didakwa bersubahat dalam perbuatan rasuah itu.

Pihak pendakwaraya masih belum mendedahkan butiran kesalahan rasuah itu.

Di bawah kod kesalahan jenayah berkenaan, tertuduh berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Khem Sokha setakat ini belum membuat sebarang komen mengenai kes tersebut.