Empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan rempuhan lori ketika sambutan Hari Bastille hingga mengorbankan 84 orang di sini telah ditahan, ujar pihak berkuasa.

Salah seorang daripadanya ditahan pada Jumaat manakala tiga lagi pada pagi Sabtu. Isteri kepada pemandu berkenaan juga kini dalam tahanan polis, lapor AFP.

Tangkapan terbaru itu dibuat selepas Presiden Perancis Francois Hollande bertemu ketua angkatan tentera dan para menteri dalam sebuah mesyuarat bersama penasihat keselamatan tertinggi negara itu di Paris.

Lelaki Perancis-Tunisia, Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, 31, merempuh khalayak ramai menggunakan lori 19 tan sewaktu pertunjukan bunga api sempena sambutan 14 Julai itu berlangsung.

Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan remaja terbunuh, selain kira-kira 50 kanak-kanak lain cedera dengan beberapa daripada mereka dalam situasi ‘antara hidup dan mati’, ujar jurucakap rasmi.

Pasukan penyiasat sedang meneliti profil Lahouaiej-Bouhlel, iaitu seorang lelaki dengan rekod jenayah ringan dan keganasan domestik namun tiada kaitan dengan kumpukan pengganas.

Perdana menteri Manuel Valls berkata penyerang mungkin ada kaitan dengan kumpulan Islam radikal, namun Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve memberi amaran bahawa terlalu awal untuk mengaitkannya.