Dr Li Wenliang, doktor yang beri amaran tentang koronavirus meninggal dunia

Agensi
Februari 6, 2020 02:59 MYT
Dr Li merupakan individu terawal bercakap mengenai koronavirus ini sebagai ancaman awam.
Dr Li Wenliang, doktor di Wuhan, China yang telah memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) disahkan meninggal dunia pada jam 2.58 pagi ini.
Perkara ini dimaklumkan Hospital Pusat Wuhan dalam kenyataannya melalui akaun media sosial weibo sebentar tadi.
"Pakar oftalmologi Li Wenliang dari hospital ini, yang menghidap pneumonia akibat jangkitan koronavirus baharu, meninggal dunia jam 2.58 pagi pada 7 Februari 2020 walaupun setelah berbagai usaha dilakukan.
"Kami ucapkan takziah dan meratapi pemergiannya," kata kenyataan itu sebentar tadi.
Doktor berusia 34 tahun itu disahkan menghidap koronavirus pada 1 Februari lalu setelah mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari akibat dijangkiti salah seorang pesakitnya.
Dr Li merupakan individu terawal bercakap mengenai koronavirus berkenaan sebagai ancaman awam.
BACA: Beri amaran koronavirus, doktor ini dipanggil polis, kini dia terlantar sakit
Terdahulu, media tempatan melaporkan kematian Dr Li sebelum menarik balik berita tersebut setelah disangkal pihak hospital.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan mengucapkan takziah atas pemergian Dr Li.
“Kami amat sedih atas pemergian Dr Li Wenliang. Apa yang kita perlu buat ialah meraikan usaha yang telah dilakukannya,” kata Pengarah Eksekutif WHO, Dr Mike Ryan yang dimaklumkan pemberita tentang pemergian Dr Li.

At today's #2019nCoV media briefing @DrMikeRyan was asked about reports that Dr Li Wenliang had passed away, and he expressed condolences. WHO has no information on the status of Dr Li. pic.twitter.com/59UzWpcfa7

— World Health Organization (WHO) (@WHO) February 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada 30 Disember lalu, Dr Li memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.
Katanya, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit pernafasan yang serius serta dikuarantin di hospital tempat dia bekerja.
Dr Li memberitahu rakan-rakannya, ujian yang dilakukan menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).
Beliau menasihati rakan-rakannya agar memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin (screenshot) mesej yang dihantarnya menjadi tular.
Bagaimanapun, kerana tindakannya itu, beliau dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.
Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.
Dia yang merupakan pakar mata, kembali bekerja selepas itu. Tanpa pengetahuannya, salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.
Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.
#China #coronavirus #Doktor #Dr Li Wenliang #Hubei #koronavirus #koronavirus baharu #meninggal dunia #nCoV #novel koronavirus #oftalmologi #Wuhan
;