Dokumen rahsia dedah negara China gagal urus peringkat awal pandemik COVID-19 - CNN
Fareez Azman
Disember 2, 2020 18:56 MYT
Disember 2, 2020 18:56 MYT
LONDON: Negara China didakwa gagal menguruskan peringkat awal pandemik COVID-19 yang bermula dari Wilayah Hubei di Wuhan secara telus dan berkesan.
Lapor agensi berita antarabangsa CNN, berdasarkan dokumen sulit dari Pihak Berkuasa Kesihatan China, sebanyak 5,918 kes baharu COVID-19 direkodkan pada 10 Februari 2020 di wilayah Hubei.
Jumlah kes itu didakwa dua kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah rasmi 3,911 kes yang diumumkan pihak berkuasa ketika itu.
Dokumen dengan nota 'hanya untuk edaran dalaman, harap dirahsiakan' setebal 117 muka surat itu didakwa CNN dikeluarkan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Hubei.
Kerajaan China sebelum ini dengan tegas menolak tuduhan yang dibuat oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain bahawa negara itu sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan virus membunuh itu sejak awal pandemik itu dikesan.
Meskipun dokumen berkenaan jelas CNN tidak menunjukkan sebarang bukti usaha untuk melindungi sebarang penemuan, dokumen tersebut bagaimanapun menunjukkan beberapa perkara yang tidak konsisten dengan apa yang dipercayai berlaku oleh pihak berkuasa berbanding dengan apa yang diumumkan secara rasmi.
Dokumen terbabit dakwa CNN turut mendedahkan wilayah Yichang dan Xianning adalah antara wilayah yang terjejas teruk oleh wabak itu pada Disember 2019 sebelum dikesan di Wuhan.
"Walaupun pihak berkuasa di Hubei menyampaikan maklumat cara menangani wabak lebih awal kepada masyarakat secara efisien dan telus, dokumen tersebut menunjukkan bahawa pegawai kesihatan setempat bergantung kepada mekanisme pengujian dan pelaporan yang tidak sempurna.
"Sebuah laporan awal dalam dokumen pada Mac menjelaskan, tempoh waktu permulaan bergejala sehingga didiagnosis adalah 23.3 hari. Pakar memberitahu CNN ia secara signifikan menganggu pemantauan dalam memerangi wabak ini," lapor agensi berita itu lagi.
China sebelum ini tegas dan berkali-kali mempertahankan bahawa maklumat berkaitan wabak COVID-19 dikeluarkan kepada umum secara terbuka, telus dan cepat.
#China
#pandemik
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#Hubei
#Wuhan
#dokumen
#kesihatan
#rakyat
#pendedahan
#kerajaan