“Jangan sibuk bicara soal polisi Islam apabila kita masih bertelagah siapa yang boleh dijemput ke majlis iftar,” ujar Imam Suhaib Webb di sebuah majlis anjuran Council on American-Islamic Relations (CAIR) di sebuah dewan masjid di Oklahoma City minggu lalu.

Beliau kelihatan berang dengan segelintir umat Islam yang obses memandang agama sebagai hukum-hakam yang ketat berbanding panduan.

“Ada sebab masjid dinamakan rumah Allah, bukannya rumah manusia. Dan pintunya terbuka kepada semua, termasuklah pendosa seperti kita,” tambahnya mengajak Muslim Amerika bersifat terbuka bagi mempamerkan Islam sebagai rahmat untuk semua.


Muslim di Amerika

Menurut pengamatan saya, umat Islam mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Amerika.

Berdasarkan Pusat Kajian Pew pada tahun 2015, Muslim Amerika dianggarkan seramai 3.3 juta orang daripada pelbagai latar belakang budaya.

Namun mereka mengalami dilema: mahu mengasimilasi nilai Amerika atau menurut arus perdana agama seperti di negara-negara Islam lain di Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika.

Jika di Malaysia umat Islam dididik bahawa agama segala-galanya dan negara nombor dua, lain pula pegangan Muslim di sini.


American first, Muslim second

Mereka mengalami krisis untuk memilih identiti “American first, Muslim second” atau sebaliknya.

Konflik dalaman ini lahir berpunca daripada pergelutan untuk mengadaptasi asas Amerika iaitu kebebasan.

Nilai yang dijunjung tinggi setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama ini dianggap ‘sangat bertentangan’ dengan nilai Islam.

Namun begitu, Imam Suhaib yang turut dikenali sebagai 'Imam Snapchat' berpendapat nilai Amerika dan nilai Islam tidak harus dipisahkan kerana Islam sebenarnya sangat menghargai nilai kebebasan beragama.

Sebagai individu yang mengabdikan diri mendalami Undang-undang Islam, beliau menegaskan bahawa Syariah tidak seharusnya dilihat dari segi perundangan semata-mata, sebaliknya lebih kepada nasihat atau petunjuk dalam menjalani kehidupan seharian.

Justeru, ujarnya Syariah bukanlah bersifat kuasa (state power) tetapi pembimbing manusia (pastoral).

Misalnya, Syariah menetapkan solat lima waktu itu adalah wajib dilakukan, tetapi bukanlah tugas manusia untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memaksa setiap umat Islam melaksanakan kewajipan tersebut.


Syariah dan Amerika

Di Amerika, Undang-undang Syariah hangat diperkatakan di media massa sejak beberapa tahun kebelakangan ini bahkan dijadikan modal politik dalam kempen pilihan raya presiden.

Calon Presiden, Donald Trump pernah menuduh lawannya, Hillary Clinton sebagai ‘lembik’ dan mesra Syariah.

Donald Trump

Bekas Speaker Dewan Perwakilan, Newt Gingrich mengeluarkan kenyataan bahawa semua umat Islam yang mempercayai Syariah perlu diusir dari Amerika.

Ditambah dengan serangan keganasan oleh militan Islam seperti ISIS, masyarakat Barat beranggapan Syariah Islam menghalalkan keganasan berleluasa.

Justeru, tidak hairanlah apabila Muslim Amerika sering kali saya perhatikan tidak mahu disamakan dengan Muslim di negara-negara Islam lain.

Mereka sering menjelaskan kepada masyarakat bukan Islam bahawa pemikiran dan tindakan Muslim lain yang bersetuju dengan pemaksaan menutup aurat, penguatkuasaan hudud, segregasi gender, pembunuhan golongan homoseksual, perkahwinan paksa kanak-kanak, pembunuhan atas nama maruah, dan pengamalan khatan pada wanita amat bertentangan dengan suruhan agama serta berpendapat politik dan budaya setempat memainkan peranan utama.

Bekas hos rancangan keagaaman di salah satu saluran televisyen Malaysia itu turut menambah, fiqh para ulama seharusnya difokuskan kepada kemaslahatan masyarakat.

Misalnnya kesepakatan ulama dalam mengharamkan perhambaan kerana tidak selari dengan hak asasi manusia walaupun dianggap dibenarkan menurut al-Quran merupakan suatu kejayaan dalam mengguna pakai Syariah demi kebaikan sejagat.

Dia turut memuji institusi agama di Malaysia dan Indonesia yang terkehadapan dalam membincangkan isu yang lebih utama seperti pencemaran alam sekitar, pemburuan binatang liar dan fiqh perubatan.


Keadilan sosial

Seterusnya Imam Suhaib menambah bahawa Syariah turut memperjuangkan keadilan sosial.

Umat Islam di Amerika digesa bersatu padu menolak segala bentuk diskriminasi serta digalak menyokong agenda sosial seperti perjuangan kesamarataan gender, pergerakan Black Lives Matter, pembanterasan anti-Semitik, solidariti bersama LGBT dan sebagainya.

Perjuangan Muslim Amerika tidak harus sekadar memenangi isu berkaitan Islam seperti perjuangan rakyat Palestin, gelombang Islamophobia dan penempatan pelarian Syria semata-mata.

Menurutnya, keadilan Islam untuk semua dan tidak tertakluk kepada golongan tertentu.

Saya renung kembali, ada benarnya apa yang dikata.

Orang Islam sangat memilih bulu dan berdegar-degar menyokong isu yang memihak kepada golongan seagamanya sahaja dan membisu apabila hak golongan lain dicabar.

Tambah Imam Suhaib, kita harus berasa malu kerana pejuang Barat lebih adil dan tidak memandang agama sebagai kriteria untuk membela golongan yang tertindas.

Tegasnya, Islam tidak pernah berkompromi dalam memastikan hubungan kemanusiaan terpelihara.


Antara menghakimi dan muhasabah diri

Justeru, sebelum memaki hamun orang lain kononnya mereka melakukan kemungkaran dan tidak berlandaskan Islam, Imam Suhaib mengingatkan kita agar berhenti sejenak dan bermuhasabah diri.

“Tanya diri, adakah tindakan kita menghakimi orang lain ini selari dengan suruhan Ilahi?”

Tiba-tiba saya terus terkenang akan cacian yang dihamburkan kepada Yuna.

Yuna
Walaupun beliau mengharumkan nama negara dan berjaya di persada antarabangsa, segelintir rakyat Malaysia akan terus membelenggunya dengan jolokan “perempuan lupa daratan”.

Bagaimana mungkin orang yang waras otaknya boleh menganggap jerkahan “perempuan sampah”, “betina jahil” dan sebagainya sebagai dakwah atau peringatan yang harus Yuna terima dengan berlapang dada?

Sebelum menutup ucapannya, Imam Suhaib menyatakan komitmen Muslim Amerika untuk membuktikan kepada kumpulan pengganas bahawa Islam dan Barat boleh hidup sejahtera bersama.

Apabila ditanya apakah perasaannya tersenarai dalam sasaran untuk dibunuh oleh ISIS serta diisytiharkan murtad oleh Dabiq iaitu akhbar propaganda kumpulan militan tersebut, beliau menjawab: Saya berasa terharu dan bangga!

Jauh di sudut hati, terbit rasa kagum menyaksikan komuniti Islam dan Amerika berintegrasi mencari titik persamaan di sebalik perbezaan.

Mereka bersungguh-sungguh membina jambatan perhubungan sesama manusia sambil tidak lupa membentuk hubungan peribadi dengan Maha Pencipta.

Mereka mengubah dilema yang dihadapi ini kepada kelebihan menyebarkan seruan agama yang hakiki.

Saya kadangkala tertanya-tanya, bolehkah sikap toleransi Muslim Amerika ini kita contohi dan teladani?


*Reeza Redzuan Rosnan ialah seorang pelajar Malaysia di University of Tulsa, Oklahoma

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI