PORT MORESBY: Menteri Luar Papua New Guinea Justin Tkatchenko dilapor meletak jawatan selepas kontroversi perbelanjaan mewah rombongan rasmi ke istiadat pertabalan Raja Charles III, baru-baru ini.

Memetik laporan BBC, Tkatchenko terbang ke London bersama anak perempuannya Savannah yang memuat naik video menunjukkan perjalanan menaiki kapal terbang kelas pertama serta berbelanja di Singapura dengan kos dipercayai hampir $900,000 (RM4.02 juta).

Dalam video berkenaan, Savannah merakam lawatannya memasuki butik fesyen mewah di Singapura dan sajian di lounge kelas pertama ketika dalam perjalanan ke London.

Tkatchenko, dalam pada itu, menyifatkan pengkritiknya sebagai "binatang primitif".

Komen Tkatchenko telah membangkitkan kemarahan rakyat melalui protes di ibu negara Port Moresby di luar Dewan Parlimen pada Jumaat.

Sementara itu, Tkatchenko berkata beliau meletak jawatan selepas berunding dengan Perdana Menteri James Marape pada Jumaat.

Tkatchenko menambah bahawa beliau ingin memastikan peristiwa baru-baru ini tidak mengganggu lawatan rasmi akan datang oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

"Saya juga ingin memastikan kebenaran perkara ini dibersihkan dan maklumat tidak benar diperbetulkan," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri James Marape meminta rakyat Papua New Guinea menerima permohonan maaf daripada Tkatchenko, dan mengakui beliau juga berasa tercalar dengan kata-kata tersebut.