SIAPA menyangka lawatan Blair Limbert ke ladang buah tropika di Far North Queensland, mengubah kehidupan penggemar buah-buahan kelahiran Brisbane, Australia itu.

Tanggapan bahawa bau durian yang menusuk hidung dan meloyakan berubah saat dia merasai sendiri buah durian. Deria rasa Blair menjadi keliru.

Pada masa itu jugalah, rasa unik durian seolah-olah diaktifkan di memorinya. Dia menggambarkan rasa durian rumit untuk dijelaskan namun mengakui jatuh cinta dengan buah tersebut.

Dipetik dari laporan The Star, sekembalinya daripada lawatan tersebut, Limbert dan rakan perniagaannya Riley Hickson memulakan The Ripe Time (theripetime.com) - sebuah ladang yang juga terletak di Far North Queensland dengan tanaman 50 spesies buah-buahan tropika seperti durian, cempedak, nangka dan manggis.

Mereka mempunyai impian mempromosikan buah-buahan tropika di pasaran Barat dan berhajat menjadi pengeluar terbesar durian dan buah-buahan tropika di dunia. Pada masa ini, mereka mempunyai ladang seluas 7,000 ekar dan dalam proses perkembangan.

Merealisasikan impian tersebut bukanlah mudah. Limbert ketika membesar mengalami masalah kesihatan mental seperti kecelaruan keresahan (anxiety disorder), gangguan obsesif kompulsif (OCD) serta pernah dibuli dengan teruk.

Ketika dewasa pula, dia mengalami masalah ketagihan alkohol serta kesihatan yang merosot akibat diet yang diamalkan. Lima tahun yang lalu, Limbert berazam mengubah hidupnya.

Salah satu yang dilakukan adalah pengambilan diet buah-buahan yang tinggi. Selain menikmati buah-buahan seperti epal, pir dan oren, dia mendapati rasa buah-buahan tropika lebih digemari.

Siapa menyangka jualan buah cempedak kepada Hickson, pelanggannya di Facebook Marketplace membawa kepada kerjasama perniagaan.

Perniagaan mereka dimulai dengan menanam pokok buah-buahan di halaman rumah ibu Hickson. Mereka menyedari bahawa kebanyakan tempat dia Australia tidak sesuai untuk menanam buah-buahan tropika kecuali Far North Queensland - kawasan yang belum diterokai dan sangat ideal untuk pertumbuhan buah-buahan tropika.

Facebook: The Ripe Time

Walaupun pada awalnya, impian mereka kelihatan mustahil. Namun mereka bertuah kerana berjaya menemui sebuah ladang di Far North Queensland dalam lingkungan bajet mereka. 

Pemilik ladang tersebut telah memulakan penanaman buah-buahan terbaik dari Asia Tenggara pada tahun 1970-an. Ladang dengan keluasan 0.5 km persegi mempunyai bangsal pembungkusan dan tapak semaian komersial, sangat ideal untuk mereka. Limbert dan Hickson berjaya mengumpul dana dan berjaya mengambil alih ladang tersebut pada Jun tahun lalu.

Mereka membuat keputusan berpindah ke Far North Queensland memulakan impian besar dan belajar kebanyakan perkara dari awal. Walaupun mereka tidak mempunyai mentor, bukan dari keluarga petani mahupun kaya, mereka percaya akan berjaya dengan keazaman dan disiplin.

Kelestarian merupakan prinsip utama dan juga faktor utama kejayaan model perniagaan mereka. Teknik semula jadi The Ripe Time berkonsepkan hutan buah-buahan direka dengan teliti dengan mengoptimumkan keseimbangan semulajadi tanaman. Idea menanam dan mencantas ‘spesies sokongan’ di sekeliling tanaman mereka, mengekalkan kesuburan tanah.

Selain daripada itu, mereka sangat selektif memilih buah-buahan yang ditanam sesuai dengan landskap yang dirancang. Mereka mencipta ‘swales’ (lekukan lembap) di sepanjang kontur tanah bagi meningkatkan fungsi hidrologi dan mengelakkan hakisan tanah.

Facebook: The Ripe Time

Melihat peladang lain mulai menanam buah-buahan tropika dan menyukainya menjadi detik manis bagi mereka. Limbert teruja memikirkan suatu hari nanti pasar raya akan dipenuhi dengan buah-buahan seperti durian, cempedak, manggis, rambutan dan nangka.

Rakan seperniagaan itu baru sahaja melancarkan #operationdurian, sebuah projek berobjektif mempromosikan dan memasarkan durian ke negara barat.

Limbert menganggarkan industri durian global semasa bernilai antara RM110-RM132 bilion dan menjangkakan ia akan berkembang kepada RM439 bilion setahun dalam dekad akan datang.

Walaupun menyukai jenis durian tanamannya, dia yakin durian terbaik di dunia berasal dari Malaysia. Dia dan Hickson bercadang melawat Malaysia dan merasai  jenis durian serantau seperti Musang King, Blackthorn, Red Prwan, D24 dan D10.

Limbert juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan pemain industri durian Malaysia untuk mempromosikan buah tersebut. Pada pendapatnya, pemasaran produk berasaskan durian merupakan kaedah promosi terbaik.

Katanya, orang ramai perlu mengatasi halangan pertama iaitu bau durian sebelum merasainya. Sebaik sahaja mereka melalui pengalaman itu, meraka akan ketagih.

Dia percaya, dengan membiasakan orang ramai dengan produk berasaskan durian seperti kek, pes dan biskut, akan memudahkan proses penerimaan durian.

Pengalaman 'kali pertama' mungkin akan berbeza selepas merasai buah durian segar - sama ada seseorang itu terus jatuh cinta atau tidak mencubanya lagi. 

Menurut Limbert, dia yakin jika halangan itu dapat diatasi, mereka pasti akan menang besar.