Imamoglu kini dalam tahanan polis dan berada di ibu pejabat polis, menurut pembantu beliau yang mengesahkan perkara itu kepada dpa.
Beliau didakwa antara lain terlibat dalam organisasi jenayah dan rasuah, lapor Anadolu yang memetik kenyataan pejabat pendakwa raya.
Menurut penyiar tempatan termasuk CNN Turk, polis menyerbu kediaman Imamoglu di Istanbul pada waktu subuh dengan kehadiran pasukan antirusuhan.
Dalam hantaran di X, Imamoglu menyatakan bahawa beliau akan "berdiri teguh" menentang apa yang disifatkannya sebagai tekanan politik.
Imamoglu dilihat sebagai pencabar utama dalam pilihan raya presiden Turkiye akan datang.
Pada Ahad, beliau dijadual dicalonkan sebagai calon presiden bagi Parti Rakyat Republikan (CHP), parti pembangkang utama. Pilihan raya presiden Turkiye seterusnya dijadual berlangsung pada 2028.
-- BERNAMA
