LONDON: United Kingdom (UK) bakal melancarkan program suntikan penggalak atau booster vaksin COVID-19 di seluruh negara bermula September tahun ini.

Menurut setiausaha kesihatannya, Sajid Javid, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapat nasihat daripada Jawatankuasa Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI), badan penasihat kepada kerajaan UK yang menyokong pemberian suntikan penggalak.

"Kami sudah mempertimbangkan 'booster' vaksin. Dan hari ini kami menerima nasihat daripada JCVI, badan penasihat bebas kepada pasukan saintifik kerajaan, dan mereka menyokong kempen ini.

"Mereka bersetuju dengan pelan kami untuk mengagihkannya bermula September.

"Itu yang perlu dilakukan untuk mengawal virus ini, itu adalah objektif utama. Ia perlu dimulakan dengan golongan rentan, itu juga perancangan kami," kata Javid.

Tambahnya, kerajaan akan turut memberikan vaksin influenza pada masa sama untuk mengawal kesihatan awam.

Pemberian vaksin COVID-19 adalah keutamaan ketika ini dan menggesa rakyat yang belum menerima suntikan dos pertama untuk segera mendapatkannya.

UK antara negara terawal yang mencadangkan penggunaan booster vaksin dan kini merupakan negara pertama mengedarkannya.