Sepanyol pada Isnin mengesahkan tiada kematian akibat COVID-19 direkod dalam tempoh 24 jam.

Ketua Kecemasan Kesihatan negara itu, Fernando Simon berkata perkembangan yang pertama kali berlaku sejak Mac lalu itu sangat menggembirakan.

Dalam sidang media di Madrid, beliau menyatakan terdapat 71 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

“Satu statistik yang baik belum kami beritahu dan mungkin masih ada penangguhan, itu adalah hujung minggu dan dapat mempengaruhi pengumuman serta dapat mengubahnya.

“Kami belum menerima laporan mengenai kematian semalam. Itu adalah sangat menggembirakan.

"Data seperti yang anda lihat telah berjalan ke arah yang sama seperti kita lihat sejak beberapa hari dan minggu terakhir.

“Evolusi (pandemik) berjalan dengan baik dan data akan membantu kami masuk ke posisi di mana kita secara progresif dapat melonggarkan sekatan, seperti yang terjadi pada Khamis lalu, apabila beberapa wilayah autonomi dapat mengubah fasa (penutupan).

"Minggu ini kita akan melihat apa yang berlaku pada Isnin depan dan dalam situasi apa kelonggaran sekatan di seluruh negara akan hadapi,” ujarnya.

Sepanyol melaporkan dua kematian pertama pada 3 Mac dan pada April mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam 24 jam iaitu 950 kematian.

Kes korban akibat koronavirus di negara itu berjumlah lebih 27,000 dengan hampir 240,000 kes keseluruhan.

Sepanyol adalah negara Eropah kedua selepas Itali dilanda wabak itu sebelum angka korban direkodkan di Perancis dan Britain.

Walaupun gembira dengan berita baik itu, kerajaan Sepanyol mengingatkan warganya bahawa ancaman virus itu belum berakhir dan kelonggaran sekatan boleh dibatalkan.