COVID-19: Tanpa tanda gejala bukan bermakna bebas virus korona
Razak Chik
April 1, 2020 21:37 MYT
April 1, 2020 21:37 MYT
PANDEMIK COVID-19 belum tunjuk tanda reda satu dunia, kini pesakit tanpa gejala (asymptomatic) sedang dipantau di China sebagai pembawa secara senyap virus korona.
Bermula Rabu (April 1), pihak berkuasa kesihatan China mula mengutip dan melapor data melibatkan kes tanpa gejala (asymptomatic).
Ini usaha berterusan China membanteras penularan COVID-19 yang disebabkan penyebaran virus korona tanpa disedari oleh individu yang secara senyap menjadi pembawa (silent carrier).
China sudah mula melonggarkan larangan ketat pergerakan dalam negara setelah kes tempatan mula menunjuk petanda giat dikekang.
Namun kelonggaran ini dikuathiri akan membuka ruang kepada kepulangan beribu-ribu warga China ke kota dan membawa bersama mereka virus korona tanpa disedari.
Ini disebabkan pembawa tanpa sedar itu tidak langsung menunjuk sebarang tanda gejala (asymptomatic) dan mereka bebas bergerak tanpa disaring positif COVID-19.
Sejak Januari lagi, jumlah kes tanpa gejala (asymptomatic) tidak didedah untuk kiraan data rasmi penularan COVID-19.
Namun akhbar South China Morning Post mendakwa terdapat lebih dari 40 ribu kes positif COVID-19 berdasarkan maklumat sulit dari dokumen tidak rasmi.
Bagi mengelak timbul sebarang kegusaran, bermula minggu ini, China bertindak mengarah semua pentadbir kesihatan menjejak kes berkenaan. Ini termasuk merekod dan melapor setiap kes yang ditemui.
Wilayah Liaoning terawal bertindak, melaporkan melalui tampalan di laman web kerajaan tempatan terdapat 52 kes pesakit yang tidak menunjuk sebarang tanda gejala (asymptomatic) bermula Mac 31.
Wilayah Hunan kemudian melapor terdapat empat kes sama – kesemua kes import dari pesakit yang pulang dari luar negara.
Jumlah ini dijangka akan bertambah apabila Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (National Health Commission) mula melapor data kebangsaan pada Rabu (1 April).
Pakar kesihatan bercanggah pendapat tahap bahaya kes tanpa tanda gejala (asymptomatic).
Mereka yang dikesan positif tetap dikenakan perintah kuarantin 14 hari.
Setakat ini, terdapat 1,541 kes positif COVID-19 kalangan pesakit tanpa tanda gejala (asymptomatic) sejak Isnin lalu.
China mencatat 3,305 kematian dari lebih 81 ribu kes COVID-19.