ANABEL Sharma tidak dapat menahan sebak apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa ibunya hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk hidup setelah mereka dijangkiti COVID-19.

Laporan portal Metro.co.uk memberitahu, Anabel, 49, dan ibunya Maria Rico, 76, telah dimasukkan ke hospital pada pertengahan Oktober lalu sebelum ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) di London disebabkan kesukaran bernafas.

Dua minggu kemudian, Anabel dan Maria 'disatukan' dalam bilik yang sama selepas kesihatan Maria dilaporkan mengalami kemerosotan.

Sebelum Maria menghembuskan nafas terakhir, Anabel dilaporkan sempat mengambil gambar terakhir mereka berpegangan tangan di ICU.

Tanpa diduga, 24 jam kemudian, pada 1 November lalu, Maria meninggal dunia.

Mengimbau kembali pengalaman itu, Anabel mengakui itu adalah memori paling sedih yang dirasainya kerana kehilangan ibu tersayang akibat pandemik COVID-19.

"Semasa kami ditempatkan di ICU, kami tidak boleh berbual seperti biasa kerana masing-masing memakai peralatan oksigen. Jika membukanya, oksigen akan berada pada paras rendah, sekali gus menyukarkan untuk kami bernafas.

"Kami ada juga berbual tetapi menggunakan jururawat sebagai perantaraan," katanya pada Ahad.