COVID-19: Petugas makmal yang dijangkiti mungkin penyebab penyebaran virus

Astro Awani
Ogos 12, 2021 07:41 MYT
Makmal Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China di Wuhan turut didapati mengendalikan koronavirus itu tahap kepakaran atau keselamatan yang ada ketika ini. - Gambar hiasan
COPENHAGEN: Seorang pegawai atasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan tentang keselamatan bio di makmal Wuhan berdekatan dengan pasar di mana kes pertama manusia dijangkiti COVID-19 dikesan.
Perkara itu didedahkan dalam sebuah dokumentari diterbitkan sebuah saluran televisyen Denmark, TV2.
Menurut Ketua Misi WHO yang menyiasat asal-usul COVID-19, Peter Embarek, seorang pekerja makmal telah dijangkiti ketika mengambil sampel di dalam gua yang dipenuhi kelawar.
"Seorang pekerja makmal dijangkiti ketika bekerja di dalam gua kelawar semasa mengambil sampel.
"Senario seperti itu serta kebocoran di makmal selari dengan hipotesis pertama kami mengenai penularan virus itu daripada kelawar ke manusia. Ini merupakan hipotesis yang kami anggap besar kemungkinan telah berlaku," katanya.
Pasukan yang diketuai WHO membuat perjalanan ke China awal tahun ini untuk menyiasat asal-usul wabak COVID-19.
Tambah Embarek, makmal Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China di Wuhan turut didapati mengendalikan koronavirus itu tahap kepakaran atau keselamatan yang ada ketika ini.
Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian WHO dalam laporannya mengenai misi Wuhan menyimpulkan 'tidak mungkin' kebocoran makmal menyebabkan wabak COVID-19 berjangkit kepada manusia.
Laporan itu turut percaya dengan teori dipromosikan kerajaan China bahawa virus itu mungkin disebarkan melalui pembungkusan makanan laut sejuk beku.
Penyelidikan yang dipimpin oleh WHO itu didorong permintaan dari negara-negara anggota untuk menyiasat asal-usul koronavirus.
Pengkritik menyatakan dapatan laporan itu menjejaskan kredibiliti misi tersebut.
#COVID-19 #pekerja makmal #WHO #kelawar #Gua #Wuhan #sampel
;