Arahan perintah berkurung akibat penularan wabak COVID-19 tidak menghalang seorang arkitek muda untuk menghiburkan hati kanak-kanak di Mexico City.

Malah, Percibal Garcia mengembara ke serata kawasan kejiranan Mexico City dengan pembesar suaranya sejak awal Mei untuk membaca cerita kepada kanak-kanak yang mendengar daripada tingkap masing-masing.

Walaupun kebanyakan kanak-kanak pada era ini mempunyai telefon bimbit, tablet atau komputer, Garcia, 27 tahun ingin membawakan cerita dongeng yang disampaikan menerusi suara manusia.

“Bukan semua yang saya lakukan demi untuk mendapat wang atau mengharapkan orang lain untuk memberikan saya wang.



“Saya rasa jika kita dapat melakukan sesuatu untuk kebaikan kita bersama, kita harus melakukannya,” katanya.

Dia selalu memulakan ceritanya dengan memainkan lagu oleh komposer lagu-lagu kanak-kanak, Cri-Cri.

Kadang-kala, tukang cerita lain akan membuat persembahan seperti dalam pertunjukan boneka.

Persembahan oleh para tukang cerita itu bukan sahaja menghiburkan hati kanak-kanak malah juga penonton daripada semua lapisan masyarakat.





Penonton dan penghibur dilihat saling berhibur sesama sendiri, seperti sekumpulan penduduk itali yang tinggal di apartmen dan menyanyi serta bermain alatan muzik beramai-ramai dari balkoni masing-masing pada Mac.