COVID-19 penyakit bawaan udara? Saintis dakwa temui bukti di dua hospital Wuhan
Najmi Syahiran Mamat
April 29, 2020 11:50 MYT
April 29, 2020 11:50 MYT
BEIJING: Sekumpulan ahli sains dari China mendakwa berjaya menemukan penanda genetik (genetic marker) koronavirus pada titisan halus yang tersebar di udara di dua hospital Wuhan, China.
Meskipun sampel yang diambil itu masih belum diketahui sama ada boleh menjangkiti atau tidak, namun titisan halus yang disebarkan melalui pernafasan dikatakan mampu bertahan di udara, sekali gus berupaya menjangkiti orang lain.
Hasil dapatan kajian itu meningkatkan bukti bahawa virus yang menyebabkan penyakit COVID-19 mampu bertahan lama di udara, lapor Bloomberg.
Difahamkan kertas kajian yang tidak menamakan identiti saintis terbabit diterbitkan pada Isnin dalam Journal Nature.
Pandangan itu disokong profesor kejuruteraan sivil dan alam sekitar di Virginia Tech, Linsey Marr yang yakin bahawa virus itu mampu bertahan sekurang-kurangnya dua jam.
“Kajian ini menyokong kemungkinan bahawa virus ini merupakan bawaan udara,” kata Marr yang juga antara pakar yang berpendapat virus COVID-19 dibawa melalui zarah aerosol.
Dalam pada itu, penyelidik juga mendapati virus yang berada pada permukaan peralatan perlindungan diri (PPE) digunakan petugas perubatan berkemungkinan boleh terlepas ke udara semula.
Walaupun terdapat pelbagai penemuan baharu, isu perdebatan koronavirus yang telah menjangkiti lebih 3.1 juta populasi dunia masih belum selesai.
Pandangan ini jelas berbeza dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mendakwa virus itu bukan jenis bawaan udara.
WHO, menerusi kajian yang dijalankan pada 75,465 kes jangkitan di China, berkata tiada sebarang bukti ia boleh menjangkiti di udara.
Jelas WHO, transmisi melalui bawaan udara adalah berbeza dengan secara titisan (droplet) kerana ia merujuk kepada kehadiran mikrob yang boleh bertahan lama di udara serta menjangkiti orang lain pada jarak lebih 1 meter.
COVID-19 didakwa berasal dari sebuah pasar makanan laut di Wuhan, China meskipun masih tiada bukti kukuh tentang punca sebenar ia bermula.
#WHO
#China
#koronavirus
#COVID19
#Wuhan
#Beijing
#coronavirus
#pandemik
#airborne
#penyakit bawaan udara