BRAZZAVILLE: Badan serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Afrika memaklumkan gelombang penularan COVID-19 di benua tersebut semakin menurun.

Namun, usaha untuk mengekang penularan virus itu masih jauh untuk berakhir.

Menurut Pengarah Respon Penyakit Berjangkit WHO Afrika, Dr Benido Impouma, jangkaan gelombang keempat yang akan berlaku di seluruh benua itu akan lebih buruk.

"Peningkatan kes COVID-19 di Afrika kini semakin menurun, namun 108,000 kes baharu dan lebih 3,000 kes kematian dilaporkan sejak minggu lepas.

"Dengan 16 negara masih lagi menunjukkan peningkatan, peperangan ini masih jauh untuk berakhir," katanya.

Susulan itu, negara-negara Afrika digesa menggunakan masa ketika ini untuk meningkatkan kadar vaksinasi mereka.

Malah jelas Impouma, bekalan vaksin yang tidak konsisten merencatkan program vaksinasi di benua tersebut.