Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA) Amerika Syarikat mengumumkan akan menggantung musim perlawanan 2019-2020 susulan pemain pasukan Utah Jazz, Rudy Robert, didapati positif COVID-19.

NBA dalam satu kenyataan di Los Angeles, menjelaskan penggantungan itu berkuat kuasa selepas selesai satu perlawanan yang dijadualkan pada Rabu.

Pengumuman itu dibuat selepas perlawanan antara pasukan Utah Jazz dan Oklahoma City Thunder di Chesapeake Arena, pada Rabu ditangguhkan atas sebab yang tidak dijelaskan sebelum ini.

“NBA akan menggunakan tempoh ini untuk menentukan langkah seterusnya dalam berdepan pandemik COVID-19,” kata NBA dalam kenyataan berkenaan.

Terdahulu, beberapa minit sebelum perlawanan di Chesapeake Arena dijadualkan bermula, ketua pasukan perubatan Oklahoma City Thunder bergegas ke gelanggang untuk bercakap dengan pengadil.

Berikutan itu, pemain daripada kedua-dua pasukan meninggalkan gelanggang itu dan menuju ke arah bilik persalinan masing-masing.

Selepas penonton menunggu selama hampir 20 minit, mereka diberitahu bahawa perlawanan itu ditangguhkan atas faktor “keadaan yang tidak dijangka”.