SEOUL: Korea Selatan akan memansuhkan kebanyakan sekatan berkaitan pandemik COVID-19 minggu depan.

Ini susulan lonjakan kes varian Omicron yang menunjukkan tanda-tanda berkurangan.

Mulai 18 April, perintah berkurung malam di restoran dan perniagaan lain dibatalkan bersama-sama had perhimpunan peribadi yang ditetapkan 10 orang.

Kerajaan juga akan membenarkan perhimpunan dan acara lain dengan kapasiti 300 orang atau lebih.

Had 70 peratus kapasiti di kemudahan keagamaan turut dihapuskan.

Perdana Menteri Boo-Kyum bagaimanapun berkata memakai pelitup muka masih diperlukan untuk melindungi diri.

Jelasnya, tidak dapat dielakkan mandat untuk pemakaian pelitup muka akan kekal untuk tempoh masa yang lama.

Mengenai pemakaian pelitup muka di ruang terbuka, kerajaan berkata akan menyemak mengenai perkara itu dalam tempoh dua minggu dan ia akan bergantung kepada situasi.

Memandangkan Korea Selatan berusaha untuk kembali normal secara beransur-ansur, kerajaan akan menghapuskan sepenuhnya keperluan kuarantin diri tujuh hari untuk pesakit COVID-19 mulai akhir Mei.

Jumlah kes koronavirus di negara itu telah melepasi kemuncaknya selepas berlegar lebih 620,000 sehari pada pertengahan Mac, dengan jangkitan harian jatuh ke bawah 130,000 pada Jumaat.

Korea Selatan sebahagian besarnya telah berjaya mengurangkan kematian dan kes kritikal melalui vaksinasi yang meluas.

Hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduk negara itu telah diberi vaksin sepenuhnya dengan 64 peratus juga telah menerima dos penggalak.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan rancangannya untuk memperluaskan pelancaran dos penggalak COVID-19 kedua untuk individu berusia lebih 60 tahun.