Bagi memerangi penularan wabak COVID-19 di Singapura, jumlah jemaah di masjid akan dikurangkan dan khutbah akan dipendekkan.

Itu jelas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas negara itu mencatatkan dua kes terbaharu positif COVID-19 yang melibatkan peserta perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Kita harus berwaspada sebelum menghadiri sebarang perhimpunan, termasuk perhimpunan agama. Kita sudah ada dua kes yang melibatkan peserta perhimpunan tabligh yang besar baru-baru ini, di Kuala Lumpur.

"Pada masa genting sekarang ini, saya harap anda faham dan sokong langkah-langkah praktikal untuk mengurangkan jumlah jemaah atau memendekkan khutbah demi menjaga keselamatan para jemaah," katanya menerusi ucaptama yang disiarkan menerusi YouTube Pejabat Perdana Menteri Singapura pada Khamis.

BACA: Peserta perjumpaan tabligh dari Johor diminta lapor diri di JAINJ segera




Pada masa sama, Lee turut menjelaskan beliau dan barisan kabinetnya sedang membincangkan langkah-langkah tambahan bagi membantu rakyat Singapura dari sudut ekonomi.

"Dari segi ekonomi, saya tahu sektor perniagaan kita terjejas teruk. Semua pihak terjejas lebih-lebih lagi syarikat kecil dan sederhana, mereka yang bekerja sendiri dan pekerja dalam ekonomi gig.

"Dalam belanjawan lalu, kami sudahpun umumkan pakej-pakej bantuan bernilai berbilion dolar. Tetapi saya dan rakan-rakan Kabinet, sedang membincangkan apa lagi yang perlu dilakukan oleh pemerintah untuk menolong rakyat Singapura.," ujarnya.

BACA: COVID-19: Singapura laksana langkah bagi pesawat penerbangan perniagaan

Justeru, Lee memohon agar semua rakyat Singapura untuk terus bersama memerangi COVID-19 dengan menyokong para petugas kesihatan dan menjaga kebersihan.

Setakat Khamis, Singapura mencatatkan 187 kes positif COVID-19 dengan 96 kes sudah pulih dan dibenarkan pulang.

BACA: COVID-19: Singapura catat 12 kes baharu, lapan kes import