JILIN: Teruk dibadai gelombang wabak COVID-19, wilayah Jilin di timur laut China mengambil langkah tambahan dengan menjalankan lebih banyak pengesanan ujian asid nukleik terhadap penduduknya.

Malah, lebih banyak kemudahan perubatan sementara yang mampu menempatkan lebih 10,000 pesakit sedang disiapkan.

Setakat ini, sebanyak 11,488 katil pesakit telah disediakan dan dua kemudahan kuarantin sementara dengan 662 bilik pengasingan siap dibina.

Pada Selasa, sebuah pusat konvensyen diubah suai menjadi hospital sementara di ibu kota Changchun dan sudah menerima kemasukan pesakit.

Wilayah Jilin akan membina dua lagi hospital sementara dengan tambahan lima tapak kuarantin dengan kelengkapan 27,555 bilik.

Bagaimanapun, semua hospital sementara itu hanya akan menerima pesakit yang tiada gejala dan gejala ringan.

Pada Rabu, wilayah tersebut melaporkan 742 jangkitan baharu dengan 415 daripadanya tidak bergejala.