COVID-19: China dihujani pujian dan juga kritikan bendung bencana kesihatan
Razak Chik
Mac 4, 2020 20:22 MYT
Mac 4, 2020 20:22 MYT
BERMULA hujung Disember 2019, penularan COVID-19 kini sudah berlarutan hingga bulan Mac.
Baharu sekarang ada tanda kejayaan cara China menangani wabak selesema yang sebaliknya semakin mengancam negara lain satu dunia.
Saintis China menerima pujian kerana berjaya mengenal pasti penyakit misteri yang mula melanda sebagai versi baharu virus korona melalui cara pengasingan genome dengan pantas.
Maklumat itu pula disebar dan dikongsi secepat mungkin dengan pakar kesihatan satu dunia.
Namun dalam pujian ada kritikan dari pelbagai pihak. China sepatutnya lebih bersungguh-sungguh berkongsi secara telus data epidimiologi yang merangkumi jumlah pesakit terlibat dan tanda-tanda klinikal (clinical symptoms).
Ini terjadi setelah penakrifan kes yang mampu bantu mengesan penyakit (case definitions) ditukar. Ini menimbulkan keraguan terhadap data yang dilapor.
Pernilaian prestasi China baru-baru ini diumum hasil kajian pakar penyakit berjangkit Dr William Schaffner dari Universiti Vaderbuilt, Tennessee.
Menurut Dr Schaffner, China menerima pujian terbesar atas kemampuan mengenakan perintah kurungan (lockdown) seluruh kota Wuhan.
“Tiada mana negara mampu membuat apa yang China lakukan, terutama menentukan usaha pengurungan kuarantin itu melibatkan berpuluh-puluh juta warganya.”
Ketangkasan China mengendalikan usaha ini memberi dunia sedikit masa dan ruang untuk mengambil langkah pencegahan.
Namun tindakan China menyekat maklumat mendapat teguran dan perhatian pejuang hak asasi kemanusiaan.
Penghantaran maklumat melalui aplikasi pesanan ditapis WeChat seawal Januari.
Citizen Lab, sebuah badan penyelidikan berpengkalan di Toronto mendapati beberapa kata kunci dan kritikan terhadap Presiden Xi Jinping disekat WeChat.
China juga disebut sebagai hanya membuat pengakuan bermulanya penularan wabak selesema di kota Wuhan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 31 Disember.
Pihak berkuasa pada asalnya menangguh berkongsi maklumat untuk pengetahuan orang awam menyebabkan jumlah sebenar pesakit yang terkena jangkitan dilapor sebagai rendah.
Kegagalan mendedah maklumat secara cepat dan telus pada peringkat awal mungkin membantu menyelamatkan nyawa.
Hanya pada 20 Januari Xi Jinping muncul di khalayak umum untuk membuat kenyataan tentang keadaan semasa.
Pada hujung Disember juga, ruang siaran secara langsung (Live Streaming) YY didapati menyenarai hitam 45 kata kunci berkaitan virus yang pada waktu itu belum dikenal pasti.
Nasib Dr Li Wenliang – doktor yang meninggal akibat jangkitan COVID-19 – bersama sekumpulan doktor yang menyedari kemunculan penyakit baharu pada penghujung Disember itu turut dipertikai.
Usaha awal para doktor yang mendedahkan penularan demam selesema baharu cuba disekat pihak berkuasa yang menunggu kata putus dari pihak atasan.
Kini terdapat tanda-tanda wabak COVID-19 semakin reda di China, hasil usaha pelbagai pihak menanganinya.
Sekarang perhatian berubah ke lain negara di dunia yang mungkin lebih bersedia kerana mampu memanfaatkan pengalaman yang kini dikongsi China.
#China
#COVID-19
#Dr Li Wenliang
#Dr William Schaffner
#koronavirus
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#wabak
#WHO
#Wuhan
#Xi Jinping