Singapura melaporkan 142 lagi kes positif jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan satu kes dalam komuniti melibatkan penghuni penjara dengan pas lawatan sosial.

Angka jangkitan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 41,615 kes.

Menurut data awal yang dikeluarkan pada tengah hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan penghuni berkenaan tiba di Singapura sebelum pelaksanaan langkah kawalan sempadan.

Penghuni tersebut telah diasingkan daripada penghuni lain sejak dimasukkan ke Kompleks Penjara Changi pada 6 Jun, dan diuji positif untuk COVID-19, menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa tiada penduduk Singapura atau penduduk tetap yang terlibat dalam kes hari ini manakala sebahagian besar jangkitan virus itu masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan pada lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,810 sebagai kes komuniti, 581 kes import dan 39,082 kes pekerja asing di asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 32,712 atau kira-kira 79 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau fasiliti rawatan komuniti.

Terdapat 225 kes positif yang masih menerima rawatan di hospital pada Khamis, dengan dua berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Sebanyak 8,510 yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif untuk COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 26 meninggal dunia akibat COVID-19.

Terdapat satu kluster baharu yang dikenal pasti pada Khamis, sebuah asrama di 10 Tech Park Crescent.

Sementara itu, memandangkan tiada lagi kes yang dikaitkan dengan Orange Valley Nursing Home di 6 Simei Street 3, bagi dua tempoh inkubasi, kluster berkenaan kini ditutup.

-- BERNAMA