Kolaborasi itu melibatkan Urbanice Malaysia dan UN-Habitat serta PR1MA Corporation Malaysia dan Masdar City, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Memorandum kerjasama antara UN-Habitat dan Urbanice Malaysia antara lain untuk membentuk perkongsian strategik untuk memajukan Agenda Pembangunan 2030 di peringkat tempatan dan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu.
Menurut Ketua Eksekutif Urbanice Malaysia, Tpr. Ts. Norliza Hashim, perkongsian strategik ini akan membuka peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan dengan membantu negara di Asia Pasifik dalam membangunkan Agenda Perbandaran Baharu.
"Ini merupakan lampiran kepada MoU yang telah ditandatangani pada Ogos 2022 di mana ia untuk mempercepatkan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia.
“Kini Urbanice ingin melihat bagaimana kita dapat adakan satu platform di rantau Asia Pasifik, kita ada pengalaman dan kepakaran itu," kata Norliza.
Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Satu lagi pencapaian diraih delegasi KPKT di COP28 ialah pertukaran dokumen persefahaman antara PR1MA Corporation Malaysia dan pihak Masdar City, UAE.
Ini adalah sebagai permulaan kerjasama untuk mendapatkan kepakaran Masdar City bagi membangunkan perbandaran pintar di Malaysia.
Masdar City yang terletak di Abu Dhabi merupakan bandar pintar yang menggabungkan kehidupan lestari dengan adaptasi tenaga boleh diperbaharui.