ATHENS: Constantine Tassoulas mengangkat sumpah sebagai Presiden Greece pada Khamis, memulakan tempoh perkhidmatan lima tahunnya selepas memenangi pilihan raya pada 12 Februari lepas, lapor Xinhua.

Ahli parti pemerintah New Democracy itu mengangkat sumpah jawatan di parlimen, menggantikan Katerina Sakellaropoulou, presiden wanita pertama Greece dan bekas ketua mahkamah pentadbiran tertinggi negara itu.

"Saya akan berusaha sedaya upaya, sebagai Presiden untuk semua rakyat Greece, bagi menegakkan Perlembagaan, memelihara keutuhan negara dan melindungi kepentingan rakyat Greece," katanya pada majlis penyerahan tugas di Istana Presiden.

Dalam perkembangan sama, Presiden China Xi Jinping mengucapkan tahniah kepada Tassoulas dan menekankan hubungan sejarah serta budaya yang kukuh dan berakar umbi antara China dan Greece.

Dalam perutusannya, Xi berkata kedua-dua negara berkongsi sejarah panjang dan warisan budaya yang kaya serta mengekalkan persahabatan yang terjalin sekian lama sebagai rakan perkongsian strategik komprehensif.

Beliau merujuk beberapa kerjasama utama antara China dan Greece, termasuk projek Pelabuhan Piraeus, kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, serta penubuhan Pusat Peradaban Purba China-Greece dan Sekolah Pengajian Klasik China di Athens.

Xi turut menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin saling berhubung, kerjasama menang-menang adalah penting bagi menangani cabaran global.

Beliau menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan Tassoulas bagi memperkukuh hubungan dua hala, memperdalam pertukaran budaya serta memajukan hubungan China-Kesatuan Eropah (EU), sambil menyumbang kepada keamanan dan kestabilan global.

Dilahirkan pada 1959, Tassoulas mempunyai kerjaya politik yang panjang, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan Negara pada 2007, Menteri Kebudayaan dan Sukan pada 2014, serta tiga kali memegang jawatan Speaker Parlimen Greece sejak 2019.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Speaker Parlimen pada Januari selepas Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis menamakannya sebagai calon presiden.

-- BERNAMA