NEW YORK: China menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersikap lebih pragmatik dengan kerajaan sementara Afghanistan, sekali gus dapat membantu mendorong pembangunan ekonomi negara itu.

Demikian kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang ketika berucap dalam mesyuarat Majlis Keselamatan berhubung isu Afghanistan pada Selasa.

Geng berkata Afghanistan memasuki fasa baharu pembangunan semula secara damai selepas tentera negara Barat berundur dari negara itu pada Ogos tahun lalu, menandakan berakhirnya perang Afghanistan yang berlarutan selama dua dekad.

"Sejarah sekali lagi membuktikan bahawa campur tangan secara ketenteraan nescaya menemui kegagalan.

"Masa depan dan nasib Afghanistan terletak di tangan rakyat negara itu sendiri," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menunjukkan sikap proaktif dengan kerajaan sementara Afghanistan, di samping mengukuhkan rasa saling memahami dan saling percaya, serta menggalakkan tadbir urus negara itu ke arah inklusif serta sederhana.

Geng menekankan keutamaan buat masa ini adalah membantu Afghanistan meredakan krisis kemanusiaan dan menstabilkan ekonomi.

"Isu kemanusiaan dan ekonomi tidak boleh dipolitikkan, manakala perbuatan mengaitkan bantuan kemanusiaan dan pembangunan ekonomi dengan isu politik lain juga perlu dielak," kata beliau.

-- BERNAMA