China laporkan kematian pertama jangkitan pneumonia Wuhan
Agensi
Januari 11, 2020 19:34 MYT
Januari 11, 2020 19:34 MYT
China pada Sabtu mengesahkan seorang lelaki berusia 61 tahun menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat jangkitan pernafasan bawaan virus baharu yang dikatakan mirip wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Setakat ini, sejumlah 41 orang dengan simptom pneumonia telah didiagnosis dijangkiti virus itu di Wuhan, lapor AFP.
Tujuh lagi masih dalam keadaan serius, manakala dua sudah berhenti daripada diberikan rawatan dan sedang berehat, menurut Suruhanjaya Kesihatan China.
Perkembangan terbaru itu telah menyebabkan kebimbangan mengenai penularan semula SARS, yang pada 2002-2003 telah membunuh 349 mangsa di tanah besar China dan lagi 299 orang di Hong Kong.
Para saintis China yang menyiasat penularan virus itu minggu lalu berkata, mereka percaya patogen itu sebelum ini dinamakan sebagai 'koronavirus tidak dikenali', yang membawa masalah kesihatan seperti demam biasa hingga yang lebih serius seperti SARS.
Saintis di Jabatan Kesihatan Hong Kong pada Sabtu berkata, urutan genetik virus yang ditemui pada salah seorang pesakit di Wuhan menunjukkan 80 peratus persamaan dengan SARS yang berasal dari kelawar.
Bercakap dalam satu sidang media di Hong Kong, pihaknya berkata masih terlalu awal untuk merumuskan jangkitan itu adalah strain yang sama dengan SARS, namun orang ramai di bandar raya itu diminta berwaspada.
"Kami akan terus dalam keadaan berjaga-jaga kerana kami percaya epidemik ini akan terus berkembang,” ujar pengarah Pusat Perlindungan Kesihatan, Wong Ka-hing.
Pihak berkuasa Hong Kong telah mengambil beberapa langkah termasuk meningkatkan kaedah nyahjangkitan di kereta api dan kapal terbang, serta memantau penumpang.