Polis Itali menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) Finmeccanica yang merupakan sebuah syarikat kumpulan pertahanan dan aeroangkasa terbesar di negara itu.

Giuseppe Orsi ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah antarabangsa bernilai 500 juta Euro yang dipercayai melibatkan urusan jual beli 12 buah helikopter kepada India.

Ekoran itu pihak berkuasa mengarahkan pemeriksaan dilakukan ke atas kediaman Orsi dan juga ibu pejabat Agustawestland iaitu sebuah jabatan helikopter di bawah Finmeccnica.

Bagi melicinkan siasatan pihak pendakwa juga mendapat kebenaran mahkamah melaksanakan tahanan rumah ke atas CEO Agustawestland, Bruno Spagnolini.

Kerajaan Itali itu memiliki 30 peratus daripada saham Finmeccanica selain dianggap sebagai syarikat yang amat berharga.

Orsi sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan kes tesebut.

Sementara itu, menteri pertahanan India dalam kenyataan media memaklumkan, pihaknya turut mengarahkan siasatan dijalankan ke atas kes tersebut.

Kenyataan berkenaan turut menyebut bahawa urusan itu dilengkapi dengan syarat bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.