Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera parah selepas diterkam seekor harimau bintang di sebuah taman safari di Thailand, pada Isnin.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Orr Burns dan keluarganya melawat taman safari Koh Samui di Thailand untuk mengambil gambar kenangan percutian di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas datuk kepada Burns melakukan kesilapan dengan membuka pintu pagar haiwan berkenaan.

Datuk Burns pada awalnya berfikir haiwan itu jinak dan pelancong boleh mengambil gambar bersama haiwan liar itu lalu membuka pintu pagarnya.

Ketika pintu pagar itu dibuka, harimau bintang berusia enam tahun diberi nama Tony itu terus menerkam kanak-kanak malang itu.

Burns mengalami kecederaan patah tulang pipi dan gambarnya diambil dalam keadaan darah yang masih mengalir daripada pipinya.

Ayah Burns, Rafi berkata harimau bintang itu menerkam anaknya terus ke tanah dan orang ramai yang berada di kawasan itu cuba membantu menghentikan serangan dengan menendang kepala harimau bintang berkenaan.

"Harimau bintang itu sepatutnya sedang mengantuk dan tidak agresif dan sepatutnya ada orang di sebelah sangkar haiwan itu.

"Tiada ambulans disediakan di sana dan mereka tidak tahu bagaimana mahu memindahkan haiwan itu.

"Kami tidak berdaya membuat apa-apa, saya bergegas ke kereta berdekatan dan meminta supaya Burns dibawa ke hospital.

"Semua orang sangat takut ketika itu dan tidak mahu membawa Burns. Kami tidak percaya kejadian seperti itu boleh berlaku," katanya.



Sementara itu, penjaga taman safari itu Naphat Pleumsut berkata pihaknya akan membayar kos rawatan bagi kanak-kanak itu.

"Pihak taman Safari membawa kanak-kanak itu ke Hospital di Bangkok Samui, dia mengalami kecederaan luka di muka dan patah tulang pipi.

"Pihak kami akan menjaga setiap isu, termasuk kos penginapan dan yuran perubatan serta penyelarasan dengan syarikat insurans," jelasnya.