Rafizi yang akan menyampaikan kenyataan negara pada sidang kemuncak itu akan memfokuskan kepada pembangunan mampan, pembaharuan sistem tadbir urus global dan situasi geopolitik di Timur Tengah.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Bank Pembangunan Baharu, Dilma Rousseff, Menteri Luar Indonesia, Sugiono, Menteri Ekonomi Dan Hubungan Luar India, Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Ekonomi Dan Hubungan Luar Brazil, Mauro Viera.
Selain itu, Rafizi turut dijangka bertemu beberapa pemimpin korporat, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Pelaburan Rusia, Kirill Dmitriev yang juga merupakan Menteri Ekonomi negara itu.
Lawatan yang disertai oleh pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri itu menegaskan komitmen Malaysia untuk memupuk kerjasama dan dialog global, di samping menjadi isyarat kepada minat Malaysia untuk menjadi ahli penuh blok ekonomi tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali menzahirkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dalam perbualan bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada 18 Jun lalu.
Turut tiba di Kazan adalah Presiden China, Xi Jinping, Perdana Menteri India, Narendra Modi, President Palestin Mahmoud Abbas dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
Rusia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi BRICS pada 1 Januari 2024.
Tahun ini, blok itu menyaksikan pengembangan keahliannya kepada hampir separuh populasi dunia, dan kira-kira sepertiga daripada ekonomi global.
Selatan Global adalah istilah digunakan untuk menggambarkan negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.
Negara-negara ini secara umumnya dianggap kurang maju dari segi ekonomi berbanding dengan negara-negara di Utara Global yang merangkumi Eropah, Amerika Utara, dan sebahagian Asia Timur.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang pada mulanya terdiri dari Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.
Pada Januari lepas, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu kumpulan BRICS tersebut.