JAKARTA: Bobby Kertanegara, kucing kesayangan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, secara rasmi berpindah ke Istana Presiden pada Isnin.

Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram @bobbykertanegara, para pengikut dapat melihat hubungan erat antara Prabowo dan Bobby, merakamkan detik-detik manis mereka berjalan bersama di istana, meskipun di tengah-tengah jadual presiden yang padat.

Dalam video tersebut, Prabowo, yang dilantik sebagai Presiden Indonesia kelapan pada Ahad, dilihat dengan mesra membelai kepala Bobby yang berbaring selesa di dalam kereta sorong berwarna coklat muda yang memaparkan namanya.

Presiden itu dengan penuh kasih bertanya, "Bobby, awak nak tengok bilik awak?", menggambarkan hubungan akrab beliau dengan kucing kesayangannya itu.

Interaksi comel ini mendapat perhatian yang meluas di media sosial, terutamanya dalam kalangan pencinta haiwan dan peminat kucing di seluruh Indonesia.

Rakaman itu memberikan sekilas pandang kehidupan peribadi pemimpin negara, seorang bekas jeneral tentera, yang memperlihatkan sisi lembut beliau di sebalik tugas rasmi.

Satu lagi video memaparkan kucing berwarna coklat, hitam dan putih itu setia menemani Prabowo di kediamannya di Jalan Kertanegara, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Media melaporkan bahawa Prabowo menyelamatkan Bobby, seekor kucing baka berbulu pendek, di kediamannya di Kertanegara, Jakarta Selatan pada tahun 2017.

-- BERNAMA