WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menolak kritikan terhadap beliau selepas keputusan tegasnya untuk kekal menarik diri dari Afghanistan minggu ini.

Sebaliknya beliau mengkritik ketidakmampuan kerajaan Afghanistan yang digulingkan dalam melawan Taliban.

"Saya membuat keputusan untuk mengakhiri perang ini. Sebagai sebahagian daripada keputusan itu, kami telah menetapkan tarikh 31 Ogos untuk tentera Amerika Syarikat untuk berundur.

"Lebih daripada 300,000 pasukan keselamatan nasional Afghanistan telah kami latih selama dua dekad yang lalu untuk menjadi saingan yang kuat dalam perang saudara mereka dengan Taliban.

"Kami anggap ini akan membolehkan kerajaan Afghanistan bertahan selepas kami berundur namun ternyata ia tidak tepat," katanya.

Biden turut menyentuh mengenai peranan bekas Presiden Donald Trump yang meluluskan pembebasan 5,000 tahanan tahun lalu termasuk beberapa komander perang terkemuka Taliban.

Jelas Biden lagi, beliau mengambil alih jawatan semasa Taliban berada dalam kedudukan terkuat mereka sejak 2001.

Biden laporkan seramai 200 rakyat Amerika Syarikat masih berada di Afghanistan dengan beberapa orang dilaporkan mahu meninggalkan negara itu.

Katanya, mereka yang membuat keputusan untuk tinggal di Afghanistan kebanyakannya mempunyai dua warganegara dan telah tinggal lama di Afghanistan, namun Amerika Syarikat tetap akan membawa mereka keluar.

Biden menolak dakwaan penentuan tarikh pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan dibuat secara tergesa-gesa.

Katanya, beliau mengambil tanggungjawab penuh sambil menjelaskan sekiranya pemindahan keluar  secara besar-besaran dibuat lebih awal, orang ramai masih akan bergegas ke lapangan terbang kerana mahu meninggalkan negara itu.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat terakhir dari Afghanistan minggu ini membuatkan Taliban menguasai negara itu selepas dua dekad.

Walaupun kebanyakan rakyat Amerika Syarikat bersetuju dengan penarikan diri dari Afghanistan, namun biden dikritik hebat mengenai kaedah menanganinya.

Washington juga berdepan cabaran logistik untuk mencari rumah baharu bagi ribuan rakyat Afghanistan yang dipindahkan ke Pangkalan Tentera Amerika Syarikat.