Beri amaran koronavirus, doktor ini dipanggil polis, kini dia terlantar sakit

Agensi
Februari 5, 2020 11:50 MYT
Dr Li dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan.
SEORANG doktor di Wuhan, China, yang merupakan antara mereka yang terawal bercakap mengenai koronavirus sebagai ancaman awam, kini dijangkiti virus tersebut.
Pada 30 Disember, Dr Li Wenliang, 34 tahun, memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.
Katanya, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit pernafasan yang serius serta dikuarantin di hospital tempat dia bekerja.
Dr Li memberitahu rakan-rakannya, ujian yang dilakukan menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).
"Saya hanya mahu mengingatkan mereka supaya berhati-hati," katanya kepada CNN.
Dr Li menasihati rakan-rakannya agar memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin (screenshot) mesej yang dihantarnya menjadi tular.
[LAPOR LANGSUNG] Angka korban hampiri 500 di seluruh dunia
Dia dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.
Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.
Dia yang merupakan pakar mata, kembali bekerja selepas itu. Tanpa pengetahuannya, salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.
Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.
"Dr Li hanya mahu menjaga kepentingan orang ramai. Tidak masuk akal untuk menghukumnya," kata Richard Watkins, seorang doktor dan profesor perubatan di Northeast Ohio Medical University, kepada portal Yahoo Lifestyle.
"Apabila doktor takut untuk memaklumkan perkembangan baharu yang mereka perolehi, banyak perkara tidak baik akan berlaku," kata William Schaffner, pakar penyakit berjangkit dan profesor di Vanderbilt University School of Medicine.
"Menyembunyikan penyakit berjangkit takkan berjaya kerana ia akan tersebar," tambahnya.
#amaran #China #coronavirus #Doktor #Dr Li Wenliang #khabar angin #koronavirus #Li Wenliang #pakar mata #pasar makanan laut #pembawa virus #perubatan #SARS #virus #WeChat #Wuhan
;