Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta mengesahkan pihaknya kini bekerjasama dengan kerajaan Britain dan Algeria untuk mengenal pasti situasi terkini di sana.

Ia susulan kekeliruan berhubung nasib tebusan yang masih ditahan.

Pengesahan itu juga dibuat ketika tentera Algeria kini mula mencari penyelesaian diplomasi, selepas gagal mengawal kompleks In Amenas.

Pada masa sama, Panetta memberi jaminan, tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang mengancam keselamatan warga Amerika.

Kenyataan Panetta menyusul pengesahan Perdana Menteri Britain David Cameron,mengenai beberapa operasi sedang digerakkan di sekitar lokasi.

Sehingga kini, maklumat diperoleh hanya mengenai operasi udara tentera Algeria pada Rabu, yang didakwa menyebabkan puluhan tebusan dan anggota kumpulan penculik terkorban.

Wujud juga laporan bercanggah daripada media antarabangsa.

Reuters mendedahkan kumpulan penculik yang dikenali sebagai brigade bertopeng, mengancam menyerang kompleks lain, sekiranya tentera Algeria menggempur mereka.

Sehingga kini Reuters melaporkan nasib sekurang-kurangnya belasan warga asing masih belum diketahui.

Manakala Associated Press pula mendakwa tentera Algeria berjaya menamatkan drama tebusan dan mengawal pelantar gas In Amenas.

Namun, yang pasti, pemimpin barat mengecam kerajaan Algeria, kerana melancarkan serangan tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu.

Ini kerana tindakan ketenteraan itu mengancam nyawa warga mereka yang kini menjadi tebusan.