Seorang ahli perniagaan Amir Hamza telah memfailkan kes itu di Mahkamah Majistret Metropolitan di Dhaka. Dia menuduh Hasina, dua bekas menteri Kabinetnya, dan pegawai kanan polis bertanggungjawab atas pembunuhan Abu Sayeed pada 19 Julai.
Peguam bela Anwarul Islam berkata Amir Hamza mendakwa Sayeed meninggal dunia selepas polis melepaskan tembakan secara rambang ke arah penunjuk perasaan di kawasan Mohammadpur di Dhaka.
Seorang hakim di mahkamah Dhaka telah mengarahkan polis untuk membuka siasatan terhadap dakwaan itu.
Amir Hamza berkata dia secara sukarela memfailkan kes itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab siviknya.
Menurut peguam, bekas menteri dalam negeri Asaduzzaman Khan, bekas menteri pengangkutan jalan dan jambatan Obaidul Quader, bekas ketua polis Abdullah Al Mamun dan tiga pegawai kanan polis lain turut dinamakan dalam kes itu.
Lebih 500 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan yang berlaku selama sebulan, bermula dengan pelajar menuntut penghapusan sistem kuota pekerjaan kerajaan yang kemudiannya bertukar menjadi pemberontakan besar-besaran terhadap kerajaan Hasina.
Hasina meletak jawatan pada 5 Ogos dan meninggalkan negara itu ke India dengan helikopter tentera, menyebabkan penunjuk perasaan melancarkan serangan lanjut ke atas polis serta perniagaan, rumah, dan pejabat penyokong setianya.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus mengambil alih sebagai ketua kerajaan sementara yang dibentuk minggu lepas.
-- BERNAMA