SEOUL: Bekas Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho dipercayai telah menjalani hukuman mati tahun lepas, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik sebuah akhbar Jepun.

Ri dipercayai menjalani hukuman mati itu sekitar musim panas dan luruh tahun lepas, lapor Yomiuri Shimbun pada Rabu, memetik beberapa sumber.

Empat atau lima pegawai dari kementerian luar Korea Utara turut dipercayai menjalani hukuman yang sama secara berturut-turut sekitar masa kematian Ri.

Laporan itu menyebut beberapa isu tidak spesifik berkaitan Kedutaan Korea Utara di Britain berkemungkinan menjadi punca di sebalik hukuman itu memandangkan kesemua mereka termasuk Ri, bekerja dalam misi diplomatik.

Ri yang dilantik sebagai diplomat tertinggi Korea Utara pada 2016, memain peranan penting dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk sidang kemuncak antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump pada 2018 dan 2019.

Sidang kemuncak Hanoi pada awal 2019 berakhir tanpa perjanjian. Ri dipercayai telah bersara pada 2020.

-- BERNAMA