SINGAPURA: Penyiar awam Britain, BBC mengumumkan pemberhentian pekerjaan dalam jabatan berita dan hal ehwal semasanya sekali gus akan menjimatkan £24 juta (RM135 juta).

Menurut laporan CNA, sejumlah 155 pekerjaan akan dimansuhkan dengan langkah itu sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mengurangkan kos sebanyak £700 juta setahun (RM3.9 bilion) di seluruh perbadanan penyiaran itu.

Dalam e-mel yang dikirim kepada kakitangan pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif BBC News, Deborah Turness berkata, organisasi itu akan berusaha untuk memotong 185 peranan dan membuka 55 peluang baharu, lapor Guardian.

Tindakan ini juga akan mengakibatkan 130 wartawan hilang kerja selain tambahan 25 petugas dalam jabatan teknikal seperti jurukamera juga dilaporkan berisiko.

Penjimatan sebanyak £24 juta itu mewakili 4 peratus daripada bajet berita BBC, tambah Turness.

Pemberhentian itu merupakan sebahagian daripada rancangan yang lebih luas oleh BBC untuk mengurangkan 500 pekerjaan di seluruh perbadanan menjelang Mac 2026 bagi mencapai penjimatan tahunan sebanyak £700 juta berbanding 2022, lapor BBC News.

Setakat 31 Mac, jumlah kakitangan perkhidmatan awam BBC adalah sekitar 17,600 orang, menurut Press Gazette, sumber berita industri kewartawanan.

Antara yang terkesan dalam pengumuman pada Selasa termasuk program wawancara hal ehwal semasa popular BBC News, HARDTalk.

Perkhidmatan berita Rangkaian Asianya juga akan ditutup.

Bagaimanapun, jumlah pekerjaan digital di zon waktu di luar United Kingdom akan ditambah dengan beberapa jawatan baharu akan dibuka di Sydney, lapor BBC News.

Berita yang mengecewakan

Dalam e-melnya juga, Turness berkata, BBC telah "berusaha keras untuk mencari penjimatan yang (tidak memerlukan) penutupan jawatan."

"Malah, lebih daripada 40 peratus daripada penjimatan ini akan datang daripada langkah bukan kakitangan termasuk pengurangan perbelanjaan untuk kontrak, pembekal, pengedaran dan bangunan fizikal," tambah beliau.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Michelle Stanistreet, menyatakan, pemberhentian kerja ini "merupakan terjemahan serangan yang merosakkan kewartawanan dan berita ketika United Kingdom memerlukan kemajmukan dan kepelbagaian berita yang lebih besar serta kepercayaan terhadap kewartawanan yang sedang diserang di dalam dan luar negara," lapor Press Gazette.

Sementara itu, penyampai HARDTalk, Stephen Sackur yang akan meninggalkan BBC berkata, keputusan yang diambil pengurusan BBC itu merupakan "berita yang mengecewakan" bagi "semua yang mempercayai kepentingan kewartawanan yang bebas, teliti dan berasaskan penyelidikan mendalam."

Dilancarkan pada 1997, HARDTalk telah menyaksikan pemimpin dunia dan tokoh-tokoh, seperti mendiang pemimpin Venezuela Hugo Chavez dan Menteri Hal Ehwal Luar Rusia, Sergei Lavrov diasak dengan soalan-soalan sensitif.

Program ini akan mengakhiri siaran pada Mac 2025, menurut laporan Guardian.

"HARDTalk adalah unik - sebuah rancangan wawancara jangka panjang dengan satu misi sahaja; untuk menuntut kebertanggungjawaban daripada mereka yang sering mengelak akauntabiliti di negara mereka sendiri," kata wartawan veteran BBC itu dalam hantaran di X.

BBC World Service menawarkan perkhidmatan dalam 42 bahasa dan menjangkau sekitar 320 juta orang di seluruh dunia setiap minggu.

Selama bertahun, organisasi itu dibiayai melalui geran daripada Kementerian Luar kerajaan British.

Namun, sejak 2014, ia dibiayai secara dominan oleh bayaran lesen televisyen yang dibayar oleh isi rumah di Britain.

World Service telah bersetuju untuk tidak menutup sebarang perkhidmatan bahasa di bawah pakej sokongan semasanya, tetapi syarat itu dijadualkan untuk dimansuhkan pada tahun depan.

Pada April lalu, Parlimen United Kingdom menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk meneliti masa depan pembiayaan perkhidmatan tersebut.

Siasatan itu bertujuan untuk memeriksa peranannya sebagai soft power dan untuk menentukan sama ada sokongan kerajaan yang lebih besar diperlukan. - CNA