LONDON: Polis sedang memburu penjenayah yang mencuri barangan kemas bernilai lebih 10 juta pound (RM56 juta) di barat laut London dalam salah satu kecurian terbesar di sebuah rumah di Britain.

Polis Metropolitan London berkata, seorang penceroboh mensasarkan sebuah rumah di kawasan Avenue Road iaitu salah satu alamat paling eksklusif di ibu kota Britain.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, polis mendakwa, pencuri tersebut memasuki rumah melalui tingkap di tingkat dua sekitar jam 5 petang waktu tempatan (12 tengah hari) pada 7 Disember, ketika penghuni rumah tiada di rumah.

"Pencuri itu melarikan beg Hermes Crocodile Kelly bernilai 150,000 pound (RM840,000), wang tunai sebanyak 15,000 pound (RM84,000) dan barangan kemas bernilai 10.4 juta pound (RM58.2 juta)," kata polis.

Pencuri tersebut digambarkan sebagai "seorang lelaki kulit putih berusia lewat 20-an hingga 30-an" yang menutup wajahnya semasa kejadian, memakai hoodie gelap, seluar kargo dan topi baseball.

Antara barang yang dicuri termasuk cincin berlian 10.73 karat dari Graff; dua cincin berlian rama-rama dari De Beers; cincin berlian 3.03 karat, cincin aquamarine dan rantai dari Hermes.

Polis turut berkongsi imej gelang bertulisan "Shafira."

Anting-anting berlian Chopard dan pelbagai barang kemas dari jenama mewah Perancis, Van Cleef & Arpels juga termasuk dalam barangan yang dicuri.

"Ini merupakan aktiviti jenayah yang berani, di mana suspek memasuki rumah dengan senjata yang tidak diketahui dan melanggar kesucian rumah mangsa," kata detektif Konstabel Paulo Roberts.

"Suspek telah mencuri barang kemas bernilai 10.4 juta pound, kebanyakannya bernilai sentimental dan unik dalam reka bentuk, menjadikannya mudah dikenal pasti," tambahnya.

Csaba Virag, ketua kakitangan kepada keluarga mangsa memberitahu The Guardian, jenayah pecah rumah itu kelihatan dilakukan oleh "penjenayah solo" tetapi menukarkan barang curi kepada wang mungkin melibatkan rangkaian yang lebih luas.

Beliau juga memberitahu akhbar Britain itu dia berada di rumah ketika kecurian berlaku.

CNN telah menghubungi Virag untuk mendapatkan komen. - CNN