SEORANG bapa yang melastik biji mata seorang guru yang bertugas di SMA di Kabupaten Rejang Lebong, Bengkulu, Indonesia sehingga buta akhirnya muncul dan menyerah diri.

Pelaku berbuat demikian di Ibu pejabat Polis Rejang Lebong pada Sabtu, selepas empat hari diburu pihak berkuasa. Pelaku ditemani keluarganya.

Sambil menangis, pelaku meminta maaf kepada Zaharman, guru yang dianiayanya sehingga mengalami kecacatan kekal pada mata kanan.

"Anak saya ditendang, saya jadi emosi encik," ungkap si pelaku sambil menangis saat ditemu bual oleh TribunBengkulu.com.

Kongsi si pelaku, selepas dia mendapat tahu yang batu lastik mengenai tepat pada mata guru berkenaan, dia kemudian melarikan diri ketakutan.

Tambahnya, dia gentar untuk menyerah diri kerana bimbang dikasari polis.

"Takut encik, takut dipukul polis," kongsinya.

Si pelaku turut mengakui sangat kesal dengan kejadian tersebut. Apatah lagi sehingga menyebabkan mata guru berkenaan buta.

"Menyesal sungguh encik, saya mohon maaf yang sebesar-besarnya," ujarnya.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Rejang Lebong Resort Kompol Yusiady mendedahkan, pelaku menyerah diri selepas polis mendekati keluarganya untuk memberi kerjasama supaya pelaku menyerahkan diri.

"Pelaku bekerjasama untuk menyerahkan diri," kata Yusiady.

Terdahulu, media Indonesia melaporkan, si pelaku naik hantu dan melastik Zaharman kerana guru tersebut menendang anaknya kerana ditangkap sedang menghisap rokok.

*Sumber: Kompas
**Artikel disiarkan di
Gempak