VIENTIANE: Laos terjejas teruk akibat kejadian banjir dan tanah runtuh sehingga memusnahkan ladang, kediaman dan harta benda, serta menjejaskan beribu-ribu rakyatnya.

Hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa wilayah manakala jalan raya di beberapa tempat rosak akibat tanah runtuh, lapor Xinhua.

Dua orang maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Bolikhamxay pada 4 Ogos, manakala mayat seorang warga Vietnam ditemui tertimbus di wilayah Khammuan pada Isnin, menurut Laophattana Daily News pada Isnin.

Hujan dijangka berlanjutan di seluruh negara, menyebabkan paras air sungai terus meningkat dan melimpah, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli Laos.

Gabenor daerah VangVieng, Bounchan Malavong, memberitahu media bahawa Lebuhraya Nasional 13 Utara rosak teruk, menjejaskan pergerakan kenderaan di wilayah itu, dan beberapa perkhidmatan pelancongan turut terjejas.

Vangvieng, sebuah bandar pelancongan di utara Vientiane, menyaksikan hujan lebat pada pagi Isnin, menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan di daerah itu.

Beberapa kawasan telah ditenggelami air setinggi lutut, menjadikan hampir mustahil untuk kenderaan melaluinya, menurut laporan Laopattana.

Beratus-ratus kampung di seluruh Laos sedang bergelut menghadapi banjir selepas hujan lebat melanda beberapa hari lalu.

Pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi lain sedang bekerja keras untuk memenuhi keperluan paling mendesak mangsa banjir dan telah mengerahkan pasukan untuk menyokong usaha bantuan segera.

Pada 11 Ogos, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, diiringi oleh para menteri, melawat daerah Khounkham di wilayah Khammuan, kira-kira 250 km tenggara ibu kota Laos Vientiane, yang dilanda banjir besar.

Lebih 6,100 hektar tanah ladang ditenggelami air. Hampir 17,000 binatang ternakan dan hampir 15,000 ayam telah dihanyutkan oleh banjir.

Sungai Mekong menghampiri paras bahaya di beberapa tempat. Orang ramai yang tinggal di sepanjang tebing sungai diberi amaran supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah, jika perlu.

-- BERNAMA