SEOUL: Angka korban akibat banjir di Seoul meningkat kepada sembilan orang sekurang-kurangnya, sementara tujuh lagi masih hilang.

Korea Selatan yang dilanda ribut dan hujan lebat bermula Isnin itu menyaksikan banyak rangkaian jalan raya, stesen kereta api bawah tanah dan kediaman ditenggelami air.

Keadaan yang mencetus bencana itu disifatkan yang terburuk sejak sistem pemantauan cuaca Korea Selatan dimulakan sejak 115 tahun lalu, menurut Presiden Yoon Suk Yeol, yang juga memohon maaf atas kesulitan yang dialami rakyatnya.

Kawasan komersial dan hiburan di daerah Gangnam juga tidak terkecuali, apabila banyak kenderaan dilihat separa tenggelam.


Ribuan gambar dan video mula dikongsikan di media sosial, antaranya menunjukkan orang ramai meredah air bah separas pinggang, serta limpahan air yang keluar dari stesen kereta api bawah tanah.

Pada awal Rabu, sekurang-kurangnya lima terkorban di Seoul, serta tiga lagi di Gyeonggi dan seorang di Gangwon, menurut Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan.

Sekurang-kurangnya 17 orang cedera.



Presiden Suk Yeol menggesa kerajaan pusat menawarkan lebih banyak bantuan kewangan dan kerahan tenaga ke bandar raya itu, selain menyegerakan usaha baik pulih.

“Memang benar hujan yang melanda dilihat sebagai cuaca yang tidak normal, namun kami menyedari bahawa kita tidak boleh lagi menggelarkan cuaca sebegitu sebagai ‘tidak normal’.

“Kita kini melihat rekod penerimaan hujan yang baharu, pada bila-bila masa. Kita perlu bersedia untuk berdepan situasi yang lebih buruk,” ujarnya.



Dalam kalangan mangsa korban, tiga orang hilang nyawa akibat terperangkap dalam apartmen separa bawah tanah yang ditenggelami banjir.

Media tempatan melaporkan, tiga mangsa itu merupakan remaja, ibunya dan juga ibu saudaranya.

Seorang mangsa terkorban ketika mengalihkan sebatang pokok yang tumbang merentangi laluan pejalan kaki, dipercayai terkena renjatan elektrik.

Seorang lagi maut apabila tanah runtuh menimbus kediamannya di sebuah kejiranan dekat kawasan pergunungan Gangwon.