RATUSAN penduduk di New Delhi, India terpaksa dipindahkan susulan hujan lebat berterusan yang mengundang risiko banjir apabila paras air sungai meningkat.

Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal berkata, air Sungai Yamuna meningkat melebihi paras bahaya dan menenggelamkan beberapa kawasan bersebelahan ibu negara yang mempunyai 20 juta penduduk itu.

Menurutnya, paras air di sungai itu telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 45 tahun.

Pada Rabu, orang ramai yang tinggal bersebelahan sungai mengalihkan barangan mereka dan berpindah ke 2,500 kem penempatan sementara yang didirikan sekitar bandar tersebut.

Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Yamuna mengharungi laluan banjir dengan haiwan peliharaan di bahu, periuk dan kuali di tangan mereka dan memanjat tangga untuk mencapai puncak jambatan ketika paras air meningkat.

Jabatan Meteorologi India (IMD) berkata, negeri berhampiran New Delhi menerima rekod hujan musim tengkujuh dengan Punjab dan Himachal Pradesh masing-masing 100 dan 70 peratus lebih banyak hujan daripada purata.

Sekurang-kurangnya 88 orang maut di Himachal Pradesh sejak hujan berterusan mula turun pada 24 Jun.